BERGOTONG-ROYONG mengecat asrama anak yatim.
BERGOTONG-ROYONG mengecat asrama anak yatim.
MENGHULURKAN hadiah untuk memberi kegembiraan kepada kanak-kanak.
MENGHULURKAN hadiah untuk memberi kegembiraan kepada kanak-kanak.
Ruhaiza Rusmin


Bagi merealisasikan hasrat memasyarakatkan teknologi, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Program Misi Kemanusiaan di Aceh, baru-baru ini.

Program itu turut menyumbangkan kepakaran UMP dengan menyediakan alat penapis air dan lampu solar bagi kegunaan 230 anak yatim yang menghuni Rumah Kebajikan Dayah Nurul Huda Aceh.

Seramai 36 warga UMP terbabit dalam program anjuran Persatuan Wanita UMP (Matahari) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan (ProTech).

Ia turut disertai 10 siswa Universitas Syiah Kuala (Unsyiah) Aceh yang membantu membersihkan kolam air, mengecat dan membersihkan kawasan persekitaran.

Ketua Timbalan Pendaftar (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Datin Fazia Ali berkata, program kali ini turut menyasarkan keprihatinan warga universiti itu membantu golongan sasar mendapatkan keperluan asas lebih baik.

“Selain program mobiliti yang dijalankan siswa, usaha ini juga menyokong agenda kesukarelawanan yang dilaksanakan UMP, sekali gus merealisasikan misi menjadikan UMP sebagai Universiti Komuniti diiktiraf dunia,” katanya.

Program mendapat kerjasama Universitas Teuku Umar (UTU) dan Unsyiah khususnya Rektor UTU, Prof Dr Jasman J Ma’ruf dan isteri, Ardawalisa Abdurahman yang juga Ketua Darmawanita UTU.

“Kami akan terus mengerakkan usaha mengumpul dana bagi menambah baik kemudahan di rumah kebajikan itu seperti Misi Kemanusiaan Kemboja yang dijalankan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pensyarah FTeK, Noor Asiah Mohamed berkata, program itu memberi peluang kepada siswa berkongsi idea dengan warga UTU dan masyarakat Aceh.

“Kami bercadang meneruskan program ini pada masa depan dengan menambah baik sistem bekalan air untuk memasak dan kegunaan di asrama perempuan serta meningkatkan kemudahan lain untuk menampung bilangan penghuni yang semakin bertambah,” katanya.

Siswa UMP, Muhammad Asmi Syamim Ahmad Sukri, 22, berkata, pengalaman menyertai program itu memberi keinsafan kepadanya apabila bersama anak yatim yang kehilangan ayah dan ibu akibat tsunami.

Turut diadakan pertandingan mewarna, program motivasi dan kesedaran kebakaran serta penyampaian dana, peralatan sekolah dan barangan hasil sumbangan universiti, persatuan serta pihak luar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:01 AM