VERSTAPPEN selar Hamilton yang menuntut perubahan peraturan. FOTO AFP
VERSTAPPEN selar Hamilton yang menuntut perubahan peraturan. FOTO AFP
Reuters

Spielberg: Max Verstappen mengingatkan musuh lamanya, Lewis Hamilton bahawa 'kehidupan ini tidak adil' selepas pemandu Mercedes yang juga juara dunia tujuh kali itu mencadangkan Formula Satu (F1) memerlukan perubahan peraturan untuk mengekang Red Bull.

Verstappen memenangi enam daripada lapan perlumbaan setakat musim ini dan sudah mendahului 69 mata daripada pesaing terdekat dan rakan sepasukan, Sergio Perez menjelang Grand Prix Austria hujung minggu ini di Red Bull Ring, Spielberg.

"Kehidupan juga tidak adil," jawab pemandu berusia 25 tahun itu, yang menafikan Hamilton mencipta rekod lapan kejuaraan rekod dan meraih gelaran pertamanya pada 2021 dalam perlumbaan terakhir di Abu Dhabi.

"Ia bukan sahaja F1. Banyak perkara dalam hidup tidak adil, jadi kita hanya perlu menanganinya."

"Kami tidak bercakap mengenai itu (perubahan peraturan) ketika dia memenangi kejuaraannya. Jadi saya rasa kita tidak patut mengubahnya sekarang.

"Begitulah F1 berfungsi. Apabila anda mempunyai kereta yang kompetitif, ia adalah hebat. Tetapi pada satu ketika anda juga perlu melihat ke hadapan untuk tahun seterusnya.

"Sudah tentu orang di belakang mengatakan perkara seperti ini tetapi mereka juga tidak boleh lupa apabila mereka menang."

Red Bull tidak tewas tahun ini dan memburu kemenangan ke-10 berturut-turut selepas memenangi 18 daripada 19 perlumbaan terakhir.

Mereka mendahului 154 mata daripada Mercedes di tempat kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 11:36 AM