VERSTAPPEN menjulang trofi selepas muncul juara GP Styria. FOTO EPA
VERSTAPPEN menjulang trofi selepas muncul juara GP Styria. FOTO EPA
AFP

Spielberg: Max Verstappen mengukuhkan penguasaan dalam kedudukan keseluruhan pelumba Formula Satu (F1) selepas dia berjaya muncul juara Grand Prix (GP) Styria, manakala pencabar terdekatnya, Lewis Hamilton menduduki tempat kedua.

Pelumba Red Bull itu bermula dari petak utama dan melintasi garisan penamat 35 saat mengatasi penyandang juara dari Mercedes, Hamilton.

Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas menduduki tempat ketiga, selepas diekori rapat oleh seorang lagi pelumba Red Bull, Sergio Perez.

Verstappen mendahului perlumbaan sejak dari awal untuk meraih kejuaraan ketiga musim ini sekali gus melebarkan lagi jarak dengan Hamilton melalui kelebihan 18 mata, malah Red Bull juga turut mengukuhkan kedudukan bagi kategori pengeluar.

"Sukar untuk mempercayainya. Jentera ini berada dalam keadaan terbaik. Satu lagi kemenangan di laman sendiri ia sangat menggembirakan.

"Ia kelihatan sangat sempurna. Kami hanya perlu terus berusaha keras dan saya yakin, kami boleh melaksanakan tugas dengan cemerlang sekali lagi," kata Verstappen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 11:23 PM