Azroy (tengah) muncul juara kelas CP150 Pusingan Kelima Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, musim lalu. -FOTO Malik Muhamad
Azroy (tengah) muncul juara kelas CP150 Pusingan Kelima Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, musim lalu. -FOTO Malik Muhamad
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar bersedia untuk mempertahankan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 apabila pusingan pertama bermula hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang Utara.

Azroy yang beraksi dalam kelas CP150 bakal menggunakan jentera baharu Honda RSX-150 dan akan mengujinya buat kali pertama.

"Matlamat saya tahun ini adalah untuk mempertahankan gelaran juara. Jentera Honda RSX-150 akan menggantikan motosikal Honda RS150 yang digunakan sebelumnya.

"Kami begitu yakin dengan kebolehan motosikal baharu ini dan kami berharap bukan sahaja akan berjaya mempertahankan gelaran juara CP150 tetapi turut memenangi gelaran juara pasukan CP150 bagi musim 2022," katanya.

Musim lalu, Azroy meraih gelaran keseluruhan berkenaan apabila mengumpul 163 mata, mengatasi pencabar terdekat dari PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, 157 mata.

Sebelum ini, pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini mengumumkan tiga barisan pelumbanya dalam kelas CP150 aitu Azroy, Md Amier Rossi Amidi dan Shahrol Syazras Shahrol Yuzy.

Shahrol Yuzy turut menyatakan sasaran pasukan bagi musim ini iaitu mempertahankan gelaran juara keseluruhan selain meraih gelaran juara pasukan yang kali terakhir diraih mereka pada 2014.

Kalendar musim 2022 bakal berlangsung sebanyak 10 pusingan dengan saingan pembuka tirai dijadual bermula di Litar Antarabangsa Sepang Utara hujung minggu ini.

Saingan selepas itu dijadual beralih ke Litar Lumba Tangkak, Johor dari 14 hingga 15 Mei sebelum kembali ke Litar Antarabangsa Sepang Selatan, 11-12 Jun untuk pusingan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 2:14 PM