PENGURUS pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini. FOTO Owee Ah Chun
PENGURUS pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini. FOTO Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Litar Temerloh sering menceriakan Shahrol Yuzy Ahmad Zaini dan menjelang perlumbaan pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS hujung minggu ini, pengurus pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing itu berharap tuah sekali lagi memihak kepadanya.

Sejak pertama kali Temerloh berada dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix pada 2013, pasukan itu sudah meraih tiga podium kelas perdana menerusi Zaqhwan Zaidi yang muncul naib juara dan  juara 2013 dan 2014 CP130 manakala dia menamatkan saingan di tempat ketiga ketika perlumbaan pertama kelas CP150 pada 2017.

Hanya pada 2016, Zaqhwan gagal menaiki podium apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dan dia juga tidak beraksi pada 2015.

Saingan kelas CP115 juga tidak mengecewakan apabila Azroy Hakeem Anuar dan Mohd Amirul Ariff Musa menduduki tempat kedua dan ketiga pada musim 2017.

“Walaupun tahun ini Zaqhwan tidak bersama kami, persembahan Azroy yang dinaikkan ke kelas CP150 semakin menunjukkan peningkatan.

“Dia berjaya menempatkan diri di kelompok hadapan sepanjang dua pusingan lalu cuma nasibnya tidak begitu baik apabila mengalami beberapa masalah mekanikal dan insiden sewaktu perlumbaan,” kata Yuzy.

“Azroy juga semakin matang dan menunjukkan peningkatan prestasi dari semasa ke semasa. Walaupun pertama kali beraksi bersama pelumba senior lebih berpengalaman, dia mampu menangani cabaran dan kami berharap dia akan meraih kejayaan.”

Tambah Yuzy: “Dari segi jentera, keadaannya lebih baik pada tahun ini. Jurutera pasukan terus bekerja keras sebagai persiapan untuk perlumbaan minggu ini. Mudah-mudahan litar Temerloh akan terus menghadiahkan podium kepada pasukan kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 6:18 PM