MARC Marquez. FOTO EPA
MARC Marquez. FOTO EPA
Agensi

London: Marc Marquez meneruskan persiapan untuk ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang bulan depan dengan berlatih bersama jentera CBR600RR di Aragon.

Ia selepas beberapa hari Marquez kembali beraksi di atas litar buat kali pertama sejak kemenangan di Misano, Oktober tahun lalu dengan menunggang jentera RC213V-S di Portimao.

Perkembangan terbaru berkenaan menyaksikan juara dunia lapan kali itu sudah semakin pulih daripada masalah penglihatan selepas terbabit dengan kemalangan ketika sesi latihan sebelum ini.

"Saya tidak mempunyai sebarang rasa tidak selesa dengan penglihatan saya.

"Selepas tidak menunggang sejak sekian lama, saya dapati ada beberapa kelemahan tetapi ia kerana saya tidak dapat menjalani aktiviti pra musim seperti biasa.

"Kami mempunyai tempoh dua minggu sebelum sesi ujian rasmi di Sepang. Jadi saya akan cuba ambil peluang yang ada untuk mempersiapkan aspek fizikal dan berlatih membawa jentera," katanya.

Marquez tidak dapat menyertai dua perlumbaan pertama musim lalu kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada retak tangan kanannya.

Dia kemudian tidak dapat menyertai dua perlumbaan terakhir susulan berdepan masalah penglihatan. Marquez bagaimanapun masih mampu memenangi tiga perlumbaan bersama Honda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 12:29 PM