JORGE Lorenzo. FOTO Agensi
JORGE Lorenzo. FOTO Agensi
Agensi

London: Jorge Lorenzo mengesahkan spekulasi rundingannya dengan Aprilia mengenai peranan sebagai pelumba ujian MotoGP pada musim 2021.

Tetapi bekas juara tiga kali MotoGP itu menegaskan ia hanyalah Pelan B dan pilihan utamanya menjadi pelumba ujian Yamaha, pasukan yang diwakili ketika menjuarai kelas perdana.

"Saya mahu terus menjadi pelumba ujian dan pilihan utama masih lagi Yamaha," kata Lorenzo kepada AS.com. "Kerana saya menang dengan mereka dan saya selesa dengan jentera. Tetapi pilihan lain ya..dengan Aprilia.''

Spekulasi mengenai kerjasama Lorenzo-Yamaha mula timbul selepas pelumba itu jarang tampil di litar perlumbaan, menggunakan jentera berspefikasi 2019 dan kekurangan masa perlumbaan ketika ujian di Portimao.

Tetapi pelumba Sepanyol itu menjelaskan penyertaan di Portugal yang juga kali pertama sejak Sepang pada Februari lalu hanyalah pada saat akhir: "Realitinya saya hanya jalani ujian dua hari di Sepang dan terbaru satu setengah hari di Portimao.

"Pada Jun, ketika perintah kawalan pergerakan sepenuhnya, saya diberitahu oleh Yamaha tiada lagi ujian tahun ini, jadi saya mengurangkan latihan ujian.

"Kemudian Yamaha beritahu ada ujian di Portimao dan saya berlatih sebaik mungkin. Hanya tinggal sedikit masa dan saya pula bukan dalam situasi terbaik. Paling buruk saya tidak menyertai MotoGP selama lapan bulan.

"Anda hilang rentak, masa reaksi dan anda perlu beberapa hari untuk menyesuaikannya tanpa mengira anda Lorenzo, Rossi atau Marquez.''

Jika Lorenzo meninggalkan Yamaha, pelumba Ducati, Andrea Dovizioso disebut menjadi pelumba alternatif walaupun dia dikaitkan dengan Honda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 1:53 PM