MARC Marquez sudah pulih daripada masalah penglihatan. FOTO AFP
MARC Marquez sudah pulih daripada masalah penglihatan. FOTO AFP
AFP

Paris: Juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez diberi lampu hijau untuk beraksi bersama jentera motocross, umum pasukan Honda.

Marquez, 28, mengalami masalah penglihatan sejak terbabit dengan kemalangan pada sesi latihan hujung Oktober tahun lalu.

Dia kemudian terlepas beraksi dua pusingan terakhir musim lalu selain sesi ujian di Jerez, Disember lalu.

"Marc Marquez menjalani pemeriksaan kesihatan Isnin lalu. Pakar mengesahkan tahap penglihatannya semakin jelas," kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

"Dengan perkembangan terbaru itu, pelumba Repsol Honda itu mendapat kebenaran untuk menunggang motosikal dan motocross, disiplin paling mencabar dalam dunia sukan dua roda.

"Selepas tidak beraksi selama tiga bulan, pelumba Sepanyol itu kembali menunggang di Litar Ponts. Selepas beberapa pusingan, dia berasa lebih selesa."

Marquez tidak beraksi sepanjang musim 2020 dan beberapa pusingan di awal musim 2021 kerana mengalami kecederaan serius pada lengan kanannya akibat kemalangan ketika perlumbaan.

Di sebalik berdepan kecederaan, dia masih mampu memenangi tiga pusingan perlumbaan sekali gus menamatkan saingan keseluruhan di kedudukan ketujuh pada tahun lalu.

Musim baharu MotoGP akan bermula 6 Mac depan di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 10:11 AM