MARQUEZ sudah mula melakukan latihan. FOTO AFP
MARQUEZ sudah mula melakukan latihan. FOTO AFP
AFP

JUARA dunia MotoGP, Marc Marquez mengakui pada mulanya berasa bimbang bakal kehilangan sentuhan ketika kali pertama menjalani latihan selepas berehat selama dua bulan akibat pandemik Covid-19.

Sensasi Sepanyol itu dan rakan sepasukannya di Honda yang juga adiknya, Alex, memulakan latihan menggunakan jentera motocross, Selasa lalu.

"Saya sangat gementar sehingga pada satu ketika memikirkan bahawa saya sudah kehilangan sentuhan menunggang jentera. Tapi saya ketepikan rasa gementar itu sebaik mula berlatih dan nampaknya ia memberi petanda positif," katanya.

Menerusi video yang disiarkan oleh pasukan Honda, kedua-dua beradik itu dilihat tidak kekok memulas jentera di litar motocross El Bosquet de Ponts yang menawarkan pelbagai cabaran buat pelumba.

Marquez, 27, dilihat semakin dapat menyesuaikan dirinya dengan jentera pada sesi latihan itu.

"Selepas dua bulan berehat, sedikit demi sedikit kami dapat kembali menemui rentak tunggangan pada sesi latihan pertama ini.

Alex yang menyertai Honda pada hujung musim lalu selepas muncul juara dunia kategori Moto2 berkata, berlatih bersama motosikal adalah jauh lebih baik berbanding hanya melakukan aktiviti kecergasan di rumah.

"Dapat kembali menaiki motosikal berbanding hanya latihan fizikal di rumah adalah satu perkembangan yang sangat baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 1:54 PM