VALENTINO Rossi. FOTO EPA
VALENTINO Rossi. FOTO EPA
Agensi

San Marino: Grand Prix (GP) Emilia-Romagna hujung minggu ini adalah penampilan terakhir juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi di halaman sendiri sepanjang karier panjangnya di MotoGP.

Dengan pelumba dari Itali itu akan bersara selepas berakhir musim ini, kira-kira 10,000 penyokong dibenarkan untuk menyaksikan perlumbaan itu.

Rossi yang menamatkan perlumbaan pertama di Litar Misano di kedudukan ke-17, tidak menjangkakan peningkatan ketara pada minggu ini, sebaliknya meramalkan perlumbaan kali ini lebih sukar berikutan faktor cuaca.

"Amat bagus tiada perlumbaan sepanjang dua minggu ini kerana kami agak sibuk sebelum ini termasuk perlu ke Amerika Syarikat (AS) yang mana ia perlumbaan agak sukar.

"Sepanjang tempoh itu, saya menjalani latihan untuk memastikan dapat mengharungi tiga perlumbaan terakhir musim ini dengan keadaan fizikal yang baik.

"Perlumbaan kedua di Misano akan lebih sukar berbanding yang pertama kerana dijangka lebih sejuk berbanding sebulan yang lalu.

"Perlumbaan sebelum ini sudah sangat beremosi untuk saya dan sudah pasti kali ini lebih istimewa. Saya harap penyokong Itali gembira dengan perlumbaan hujung minggu ini," katanya.

Rossi melalui musim yang paling teruk sepanjang kariernya di MotoGP namun dia berjaya meraih mata ketika perlumbaan terakhir di AS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 12:32 PM