Rossi mahu menikmati perlumbaan terbaik MotoGP di Sepang Ahad ini. - Pix AFP
Rossi mahu menikmati perlumbaan terbaik MotoGP di Sepang Ahad ini. - Pix AFP

Kuala Lumpur: Dua pelumba Yamaha Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo meneruskan pertarungan di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) Ahad ini untuk menentukan siapa berhak muncul juara dunia MotoGP.

Sepang adalah pusingan kedua terakhir musim 2015 menyaksikan saingan takhta gelaran kategori utama sengit hingga ke penghujung.

Pertandingan dua pelumba bekas juara dunia itu semakin ketara selepas Grand Prix Australia minggu lalu apabila Lorenzo merapatkan jurang pendahuluan dimiliki Rossi kepada 11 mata.

Rossi, 36 adalah legenda perlumbaan dua tayar dalam sirkit kompetitif antarabangsa. Dia meraih tujuh gelaran kategori utama tetapi pelumba Itali itu masih belum membawa pulang sebarang kejuaraan dunia sejak 2009.

Rossi meraih gelaran dunia kategori 125cc, 250cc, 500cc dan MotoGP sebelum ini.

"Hanya tinggal dua perlumbaan dalam kejuaraan MotoGP dan sangat penting tidak melakukan sebarang kesilapan," kata Rossi yang menamatkan saingan di tempat keempat di Phillip Island membolehkan Lorenzo mendekatinya.

"Kami melalui perlumbaan baik di Australia tetapi boleh menjadi lebih baik. Kita hanya memerlukan dua perlumbaan terbaik untuk mengakhiri musim ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 12:40 PM