HAFIZH memohon maaf kepada KBS. FOTO RW Racing GP
HAFIZH memohon maaf kepada KBS. FOTO RW Racing GP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menjelaskan bahawa luahannya sebelum ini tiada kaitan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ia cuma menimbulkan rasa tidak puas hatinya kesukaran yang dihadapinya untuk menerbangkan isterinya, Noor Suzana Abdul Manaf ke Eropah membabitkan kelulusan daripada Imigresen dan pihak berkaitan.

"Maaf, saya ingin menjelaskan posting saya sebelum ini tak ada kena mengenai dengan KBS dan pihak lain.

"Menteri KBS (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) dan pasukan KBS banyak membantu saya dari dulu sampai sekarang.

"Apa yang saya post (muat naik) sebelum ini sebab kesulitan dengan Imigresen Malaysia untuk ke luar negara. Harap korang jangan salah faham dengan KBS," katanya di Instagram Story miliknya.

Hafizh yang Ahad lalu menceriakan peminat permotoran negara apabila berjaya menamatkan saingan di kedudukan kesembilan saingan Grand Prix Itali, memohon maaf kepada KBS berikutan menimbulkan salah sangka netizen terhadap pihak kementerian.

Terdahulu, luahan Hafizh itu turut mendapat perhatian daripada Reezal menerusi maklum balas yang diberikan oleh beliau dalam Facebook Harian Metro.

Reezal mengambil maklum atas cadangan terhadap isu itu dan menghargai maklumat, pandangan dan nasihat yang dikongsikan.

"Pihak KBS sentiasa mengambil berat berkaitan masalah atlet Malaysia. Pihak KBS ambil maklum akan pandangan itu. Sekian Terima Kasih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 6:17 PM