Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif. FOTO File NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Belum ada kata putus berhubung penganjuran Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan perbincangan kini masih berlangsung bersama pihak berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif pada sidang media secara maya hari ini sempena setahun beliau menjawat jawatan itu bagaimanapun tetap optimis MotoGP dapat kembali ke SIC.

Mengakui agak berdebar menantikan keputusan penganjuran berkenaan, Shafriman berkata, seperti mana yang sedia maklum tiada sebarang penganjuran antarabangsa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memang menjadi harapan SIC untuk kembali menganjurkan perlumbaan itu.

"Tahun lalu apa yang dirancangkan tidak menjadi antaranya perlumbaan MotoGP dan juga sesi ujian MotoGP.

"Namun untuk MotoGP kali ini juga terlalu awal untuk memaklumkan perkembangan berhubung penganjuran berkenaan dan kini masih dalam peringkat perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sekiranya MotoGP mendapat lampu hijau, SIC akan umumkan rangka perjalanan penganjuran termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai.

"SIC bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan terutama jika ia dilangsungkan dalam norma baru dengan pematuhan ketat SOP," katanya.

Bagi menilai sejauh mana tahap pemantauan SOP di SIC, esok akan berlangsungnya perlumbaan drag, perlumbaan pertama di SIC yang akan membabitkan kemasukan 2,000 penonton ke litar berkenaan.

Ia akan menjadi tanda aras sejauh mana kemampuan SIC mengendalikan SOP dalam penganjuran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 9:57 PM