SIC turut membuka pintu kepada peminat MotoGP dengan kemasukan percuma bagi tempat duduk utama bagi penonton yang divaksin sepenuhnya. FOTO NSTP
SIC turut membuka pintu kepada peminat MotoGP dengan kemasukan percuma bagi tempat duduk utama bagi penonton yang divaksin sepenuhnya. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sesi ujian rasmi Kejuaraan Motosikal Dunia, MotoGP kembali menghangatkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 5 dan 6 Februari.

Barisan pelumba ternama dunia akan menguji jentera yang akan digunakan sepanjang musim 2022 dalam saingan yang membabitkan 21 pusingan.

Litar Antarabangsa Losail, Qatar akan membuka tirai kejohanan pada 6 Mac ini diikuti Grand Prix Indonesia pada 18 hingga 20 Mac.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, SIC gembira saingan MotoGP kembali ke SIC selepas dibatalkan beberapa musim.

"Ini akan menjadi acara sukan permotoran antarabangsa pertama di Malaysia sejak wabak pandemik Covid-19 melanda dunia.

"Pelumba dan pasukan yang mengambil bahagian perlu melalui proses ketat menggunakan Pergerakan Gelembung Sukan Permotoran.

"Ia sememangnya satu permulaan yang baik untuk tahun 2022 dan menandakan usaha yang kolektif untuk memulihkan industri sukan di Malaysia.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di atas sokongan dan kelulusan bagi merealisasikan perkara ini," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Jelas Shafriman lagi, SIC turut membuka pintu kepada peminat MotoGP dengan kemasukan percuma bagi tempat duduk utama bagi penonton yang divaksin sepenuhnya.

Ini adalah masa terbaik untuk peminat permotoran negara menyaksikan kelibat Fabio Quartararo, Francesco Bagnaia, Marc Marquez, Joan Mir, Jack Miller, Johan Zarco, Maverick ViƱales, Franco Morbidelli, Andrea Dovizioso dan ramai lagi beraksi semasa ujian rasmi selama dua hari ini.

Selain Malaysia, Ujian Rasmi MotoGP 2022 juga dijadual berlangsung di Litar Mandalika, Indonesia dari 11 hingga 13 Februari ini sebelum Ujian Rasmi Moto2 dan Moto3 mengambil tempat di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal dari 19 hingga 21 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 9:42 PM