JENTERA baru Williams untuk perlumbaan musim baru 2021. FOTO Agensi
JENTERA baru Williams untuk perlumbaan musim baru 2021. FOTO Agensi
AFP

London: Pasukan Formula Satu (F1) Williams terpaksa membatalkan pelancaran jentera secara maya selepas menjadi sasaran serangan penggodam.

Pasukan dari Britain itu berharap peminat dapat melihat pelancaran jentera terbaru mereka di kediaman masing-masing namun terpaksa membatalkan sejam sebelum pelancaran.

"Williams Racing bercadang untuk memperkenalkan jentera 2021, FW43B, menggunakan aplikasi teknologi 'Augmented Reality' (AR).

"Bagaimanapun, sayangnya kerana aplikasi itu diceroboh penggodam menjelang pelancaran, ia tidak dapat dilakukan.

"Kami memang ingin berkongsi pengalaman ini bersama peminat, terutama ketika berdepan saat sukar untuk mereka datang secara bersemuka dalam majlis namun ia tidak berlaku," kata pasukan berkenaan.

Pelumba Britain, George Russell, yang beraksi buat musim ketiga bersama Williams mengakui ia sangat mengecewakan.

"Sangat memalukan. Saya sudah melihat aplikasi ini dan ia akan menjadi pengalaman sangat menarik buat anda semua. Tapi siapa yang melakukan perkara ini ternyata tidak bertanggungjawab," kata Russell.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 3:12 PM