REAKSI Zverev selepas mengalahkan Medvedev awal pagi tadi. — FOTO Reuters
REAKSI Zverev selepas mengalahkan Medvedev awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

RAFAEL Nadal pulang daripada Pusingan Akhir ATP awal pagi tadi selepas kemenangan juara bertahan Alexander Zverev ke atas Daniil Medvedev mengesahkan penyingkiran pemain Sepanyol itu daripada kejohanan penamat musim.

Pemain nombor satu dunia itu bangkit sebelum menewaskan Stefanos Tsitsipas 6-7 (4/7), 6-4, 7-5 pada aksi terdahulu di Arena O2, London namun menyedari dia bergantung harap kepada keputusan selepas itu.

Kemenangan 6-4, 7-6 (7/4) Zverev bermakna dia layak ke separuh akhir dari Kumpulan Andre Agassi di samping Tsitsipas.

Tsitsipas, yang menjuarai kumpulan itu, akan berdepan juara enam kali Roger Federer pada separuh akhir lewat malam ini manakala Zverev bertemu Dominic Thiem, yang berakhir di depan Federer dalam Kumpulan Bjorn Borg.

NADAL bangga memperagakan trofi pemain nombor satu dunia ATP di London. — FOTO AFP
NADAL bangga memperagakan trofi pemain nombor satu dunia ATP di London. — FOTO AFP

“Saya layak ke separuh akhir sekali lagi, di arena ini yang mana saya memperagakan aksi terbaik tenis,” kata Zverev. “Kami tidak bermain dengan suasana ini di mana-mana di dunia.

“Hari ini kerana Daniil sudah tidak layak dia hanya menikmatinya, tapi bagi saya mesti menang. Dia pemain terbaik sejak musim panas lalu jadi pujian buatnya.”

Zverev, yang mengalahkan Novak Djokovic pada final tahun lalu, tidak konsisten musim ini namun kini berpeluang untuk menamatkannya dengan nota kejayaan di London.

Tsitsipas, 21, sudah memastikan tempat ke separuh akhir sebelum aksi awal pagi tadi selepas menundukkan Medvedev dan Zverev.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 2:06 PM