ALCARAZ akan berdepan Zverev di suku akhir, esok. FOTO AFP
ALCARAZ akan berdepan Zverev di suku akhir, esok. FOTO AFP
Reuters

Melbourne: Pemain pilihan kedua, Carlos Alcaraz mara ke suku akhir Terbuka Australia selepas mempamerkan kemahirannya menewaskan Miomir Kecmanovic, 6-4, 6-4, 6-0, malam tadi.

Pemain Sepanyol berusia 20 tahun itu mara ke suku akhir dalam kejohanan itu buat kali pertama menerusi kemenangan selama satu jam 49 minit dan dia hanya tewas satu set dalam empat perlawanan pertamanya.

Alcaraz memenangi 83 peratus mata menerusi servis pertamanya, menukarkan lima daripada sembilan 'break point'.

Perlawanan itu adalah pertarungan kali kedua antara Alcaraz dan Kecmanovic dengan pemain Sepanyol itu menang aksi lima set di Miami pada 2022.

Pertarungan lima set sudah menjadi kebiasaan bagi Kecmanovic yang terpaksa bermain hingga keputusan maksimum dalam dua peringkat sebelum ini di Melbourne.

Alcaraz mengakui dia lebih banyak berehat berbanding mereka berdua dalam aksi sebelum ini.

"Saya rasa semuanya berjalan lancar malam ini.

"Perlawanan di Miami pada 2022 sangat sengit dan bertahap tinggi daripada kedua-dua pihak.

Bagi saya, hari ini adalah perlawanan cukup baik, tetapi saya memberi tekanan sebanyak mungkin kepadanya untuk meraih mata.

"Dia sangat jelas sudah banyak bermain menerusi perlawanan dalam lima set dan banyak perlawanan sukar sebelum ini. Jadi mungkin dari segi fizikalnya, dia tidak berada pada tahap 100 peratus.

"Saya memberi tekanan sebanyak mungkin dan menggerakkannya dari sisi ke sisi. Saya mengambil peluang dalam setiap set dan bagi saya, itu adalah perlawanan cukup baik," katanya.

Di suku akhir, Alcaraz akan berdepan pemain pilihan keenam, Alexander Zverev yang menewaskan pemain Great Britain, Cameron Norrie dalam perlawanan maraton yang berkesudahan 7-5, 3-6, 6-3, 4-6, 7-6 (3).

Pemain Jerman, Zverev memperbaiki rekod kemenangannya kepada 5-0 sepanjang masa menewaskan pemain pilihan ke-19, Norrie dalam kemenangan empat jam lima minit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 11:38 AM