JANNIK Sinner. FOTO AFP
JANNIK Sinner. FOTO AFP
AFP

Madrid: Jannik Sinner menolak idea bahawa dia adalah pemain terbaik di dunia pada masa ini apabila menyatakan dirinya tidak sepatutnya dibandingkan dengan dua seteru utama, Novak Djokovic serta Carlos Alcaraz.

Pemain nombor dua dunia dari Itali itu berpeluang merapatkan kedudukan dengan Djokovic yang menduduki tangga teratas jika dia berjaya muncul juara di Madrid sepanjang dua minggu ini dan dia tiba di ibu negara Sepanyol itu dengan penuh keyakinan bersama rekod gah 25 kemenangan dan hanya dua kekalahan sepanjang musim ini.

Penyandang juara Terbuka Australia itu, berada di kedudukan pertama dalam Perlumbaan ATP ke Turin, dan 1,650 mata di hadapan Daniil Medvedev di tempat kedua.

"Saya rasa ia soalan yang sukar untuk dijawab. Kita sering hanya melihat saat ini dan saya fikir kadangkala bagus tetapi ia juga tidak bagus," kata Sinner kepada pemberita di Madrid.

"Saya masih percaya anda tidak boleh membandingkan diri saya dengan Novak selepas semua yang sudah diraihnya. Begitu juga dengan Carlos yang menang lebih daripada saya.

"Saya amat menghormati mereka berdua. Saya hanya cuba bermain cara permainan saya, cuba memahami apa yang terbaik untuk saya dan kemudian kita lihat apa yang boleh saya capai," katanya lagi.

Sinner tidak pernah melepasi pusingan ketiga termasuk pada dua penampilan sebelum ini di Caja Magica dan akan berusaha untuk mengubah pencapaian itu kali ini.

Dengan ketiadaan Djokovic, yang menarik diri daripada kejohanan itu, Sinner adalah pilihan utama di Madrid.

"Saya pernah bergelut pada tahun-tahun sebelum ini, jadi ia pasti akan menjadi lebih menarik untuk melihat bagaimana saya akan beraksi tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 8:07 AM