YI Wen (kiri) yang diletakkan selaku pilihan keempat tidak berhadapan tugas sukar untuk mencatat kemenangan mudah 11-5, 11-1, 11-8. FOTO Ihsan Persatuan Raket Skuasy Malaysia
YI Wen (kiri) yang diletakkan selaku pilihan keempat tidak berhadapan tugas sukar untuk mencatat kemenangan mudah 11-5, 11-1, 11-8. FOTO Ihsan Persatuan Raket Skuasy Malaysia
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Dua pemain wanita negara akan berentap semasa sendiri di final esok untuk menentukan kejuaraan pada Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia yang berlangsung di Pusat Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini.

Pemain negara, Chan Yi Wen berjaya mempamerkan aksi begitu cemerlang untuk mengejutkan pilihan pertama dari Hong Kong, Cheng Nga Ching dengan kemenangan 3-0 hanya dalam masa 25 minit sahaja.

Yi Wen yang diletakkan selaku pilihan keempat tidak berhadapan tugas sukar untuk mencatat kemenangan mudah 11-5, 11-1, 11-8 untuk ke final.

"Saya cuba bermain dengan baik dan tidak terlalu berfikir banyak sangat dalam perlawanan hari ini kerana semalam ia banyak mendorong saya membuat banyak sangat kesilapan.

"Saya lebih menumpukan kepada proses dan pelan permainan saya dan saya bersyukur semuanya berjalan seperti yang saya rancang," kata Yi Wen.

Selain itu, seorang lagi wakil negara, K Sehveetrraa juga meneruskan momentum cemerlang untuk mengetepikan lawan dari Hong Kong, Toby Tse yang juga pilihan ketujuh kejohanan dengan kemenangan 11-2, 11-8, 11-6 dalam tempoh 23 minit.

Sementara itu, untuk kategori lelaki, Addeen Idrakie Bahtiar berjaya bangkit dari tewas set pertama untuk mencatat kemenangan 3-1 ke lawan dari Hong Kong, Tang Ming Hong untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.

Namun begitu, ia bukan perlawanan yang mudah buat Adden apabila lawannya memberi tentangan cukup sengit sebelum dia bangkit mencatat kemenangan dengan 7-11, 13,11, 11-5, 11-6.

Hasrat untuk bertemu sesama sendiri di perlawanan akhir seperti kategori wanita tidak kesampaian apabila Ryunosuke Tsukue dari Jepun berjaya mengetepikan cabaran pemain negara, Bryan Tze Kang dengan kemenangan 11-8, 7-11, 11-2, 11-8.

Terdahulu, Kejayaan dua pemain wanita Malaysia ke pentas final esok membolehkan Malaysia memperoleh satu lagi slot tambahan di Kejohanan Skuasy Dunia yang akan berlangsung di Kaherah, Mesir pada Mei depan.

Pemain wanita negara yang lain seperti Ng Eain Yow, S Sivasangari, serta Aira dan Aifa Azman sudah pun layak ke saingan itu lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 6:13 PM