EAIN Yow  akan menentang pemain Hong Kong, Max Lee di suku akhir.
EAIN Yow akan menentang pemain Hong Kong, Max Lee di suku akhir.
Ferzalfie Fauzi

MENYEDARI lawannya, Ammar Al Tamimi pemain yang agresif, Ng Eain Yow tidak teragak-agak memberi tekanan sejak dari awal sekali gus mencatat kemenangan di pusingan ketiga Kejohanan Individu Asia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Eain Yow yang diletakkan pilihan ketujuh menumpaskan wakil Kuwait itu 11-2, 11-6, 11-4 untuk mara ke suku akhir.

Menanti Eain Yow di suku akhir ialah pemain ranking ke-23 dunia dari Hong Kong, Max Lee yang sebelum itu berjaya menumpaskan pilihan kesembilan dari Pakistan, Tayyab Aslam 11-5, 12-10, 11-8, 11-1.

Turut mara ke suku akhir ialah pilihan kelapan, Ivan Yuen yang mengalahkan wakil Jepun, Endo Tomotaka 10-12, 11-5, 11-9, 11-0.

Bagaimanapun, seorang lagi wakil negara, Syafiq Kamal terkandas di pusingan ketiga selepas tumpas di tangan pilihan kedua dari Hong Kong, Yip Tsz Fung 8-11, 4-11, 6-11.

Dalam aksi perseorangan wanita, pemenang pingat perak Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, S Sivasangari menundukkan rakan senegara, Aifa Azman 6-11, 11-5, 11-7, 11-7. Pilihan keempat, Low Wee Wern pula menumpaskan wakil India, Sunayna Kuruvilla 11-7, 11-7, 11-7.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 10:10 PM