MEGAT Shahriman (duduk barisan tengah, enam dari kanan) bergambar bersama peserta sesi pertama Projek Rimau Emas, hari ini. FOTO MPM
MEGAT Shahriman (duduk barisan tengah, enam dari kanan) bergambar bersama peserta sesi pertama Projek Rimau Emas, hari ini. FOTO MPM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bercadang untuk memakaikan alat pengesan kepada semua kontinjen negara yang akan menyertai Sukan Paralimpik Paris bermula 28 Ogos sehingga 8 September depan.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, ia sebagai langkah keselamatan bagi mengesan pergerakan kontinjen negara termasuk atlet serta pegawai pasukan.

Jelasnya, Malaysia akan mengemukakan usul itu pada mesyuarat di Paris yang dijadual berlangsung Jun ini bagi mendapatkan kebenaran pemakaian alat pengesan berkenaan.

"Di pihak MPM, saya sudah berjumpa dengan dua syarikat yang mungkin akan menyediakan alat pengesan ini untuk memastikan pergerakan atlet kita seperti dari stadium ke perkampungan sukan.

"Masalah kita adalah pada atlet yang habis cepat (acara) dan mereka mempunyai banyak masa. Bila banyak masa, mungkin nak berjalan jadi kita tak mahu perkara tak diingini berlaku dan sebab itu kita tegas dengan perkara ini.

"Ancaman itu boleh datang daripada macam-macam perkara. Contohnya seperti Persatuan Keretapi Perancis yang tak nak membawa tren baru-baru ini (mogok). Bas dan juga apa semua termasuklah konflik yang sedang berlaku antara Israel-Palestin.

"Kadang kala ancaman itu untuk orang lain, tetapi kalau atlet kita ada di tempat itu, bagaimana?," kata Megat pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Projek Rimau Emas, hari ini.

Projek Rimau Emas adalah kaedah bagi mencungkil bakat dan melatih bakat baharu secara berfokus melalui program sedia ada di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu Program i-Talent dan i-Train.

Mengulas lanjut cadangan pemakaian alat pengesan itu, Megat berkata, keputusan muktamad mengenainya hanya akan diketahui kira-kira sebulan sebelum temasya Paralimpik membuka tirainya.

Sementara itu, Megat menjangkakan kontinjen kali ini bakal disertai lebih daripada 20 atlet dengan seluruh kontinjen dijangkakan seramai 45 orang termasuk pegawai, doktor dan jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 2:58 PM