MEGAT D Shahriman (kanan) berkata setakat ini seramai empat atlet paralimpik iaitu dari sukan renang sudah mengesahkan tempat untuk beraksi di temasya Paralimpik Paris 2024. FOTO Ihsan Majlis Paralimpik Malaysia
MEGAT D Shahriman (kanan) berkata setakat ini seramai empat atlet paralimpik iaitu dari sukan renang sudah mengesahkan tempat untuk beraksi di temasya Paralimpik Paris 2024. FOTO Ihsan Majlis Paralimpik Malaysia
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berharap agar kerajaan tidak pilih kasih atlet yang bernaung di bawah badan induk itu menjelang persiapan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Justeru, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memohon agar atletnya diberikan peruntukan yang sama seperti atlet yang berada dalam program Road To Gold (RTG) dalam misi mereka menambah koleksi kilauan pingat emas di temasya berkenaan.

"Kami di MPM tidak ada masalah dengan program RTG. Atlet normal boleh teruskan dengan program berkenaan dalam misi mencari emas pertama di Sukan Olimpik.

"Cumanya kami berharap agar peruntukan dan kesemarataan turut diberikan kepada atlet para kami kerana mereka ini mahu menambah lagi koleksi emas buat negara di Sukan Paralimpik.

"Kalau RTG boleh dapat dana, mereka juga perlulah berikan dana kepada atlet para ini. Tidak payah dalam satu program pun tidak apa cuma peruntukan itu perlulah diberi sama.

"Saya rasa asalkan ada dana tak mustahil kita boleh tambah lagi pingat emas. Setakat ini kita sudah ada enam emas dua perak dan dua gangsa sepanjang penyertaan di temasya Sukan Paralimpik," katanya.

Dalam pada itu Megat Shariman berkata setakat ini seramai empat atlet paralimpik iaitu dari sukan renang sudah mengesahkan tempat untuk beraksi di temasya Paralimpik Paris 2024 selepas melepasi had kelayakan yang ditetapkan sebelum ini.

Tambahnya, beliau percaya akan lebih ramai atlet paralimpik terutamanya dari sukan teras akan mengikut jejak langkah mereka layak beraksi di temasya itu sekali gus mampu mencerahkan peluang Malaysia untuk meraih pingat emas.

Untuk rekod, empat atlet paralimpik yang sudah melayakkan diri ke temasya Paralimpik Paris 2024 ialah Zy Khee Ler, Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan, Brenda Anellia Larry dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 3:34 PM