FARAH Syakira catat masa 14.62s pada Januari lalu, sekali gus layak beraksi di Kejohanan Remaja Asia.
FARAH Syakira catat masa 14.62s pada Januari lalu, sekali gus layak beraksi di Kejohanan Remaja Asia.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet lari berpagar wanita negara, Farah Syakira Azifsafarin terus menggalas cabaran di peringkat antarabangsa apabila layak beraksi di Kejohanan Remaja Asia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), minggu depan.

Farah Syakira, 16, bakal menyertai acara 100 meter (m) berpagar wanita selepas melepasi syarat ditetapkan apabila mencatat 14.62 saat (s) pada awal Januari lalu.

Jurulatihnya, Muhd Khairi Amri berkata, kejohanan terbabit cukup penting dalam usaha pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Lope Nor Rashid itu untuk layak beraksi di pentas remaja dunia yang bakal berlangsung di Lima, Peru, Ogos depan.

"Farah Syakira dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi prestasi dengan memperbaiki catatan masa supaya dapat beraksi di kejohanan Remaja Dunia.

"Usianya yang masih muda sudah pasti banyak perkara perlu dilalui dan dipertingkatkan, sekali gus mampu menjadi permata baharu untuk negara pada masa akan datang.

"Terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Perak dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menyokong pembangunan dan penyertaan Farah Syakira untuk beraksi di pentas antarabangsa," kata Khairi yang juga guru Sekolah Kebangsaan Tanjong Piandang.

Farah Syakira melepasi kelayakan merit dengan catatan masa 14.62s mengatasi sasaran ditetapkan Persatuan Olahraga Asia (AAA) iaitu 14.64s semasa kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) TRIALS 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Januari lalu.

Kejohanan di Dubai itu akan disertai 12 atlet dengan diiringi lima pegawai dengan matlamat untuk memperbaiki catatan rekod peribadi bagi menyertai kejohanan dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 1:47 PM