DAYANA Qamelia antara pelumba yang sering ditinggalkan di tepi jalan ketika sesi latihan beramai-ramai. FOTO Ihsan Nur Dayana Qamelia Nazrul Niza
DAYANA Qamelia antara pelumba yang sering ditinggalkan di tepi jalan ketika sesi latihan beramai-ramai. FOTO Ihsan Nur Dayana Qamelia Nazrul Niza
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: "Perasaan saya sangat takut sebab kena tinggal seorang diri kerana kawasan situ (Bukit Hantu) sangat sunyi dan memang hutan. Saya takut saya boleh diculik atau apa-apa yang tidak diingini boleh berlaku kepada saya."

Itu luahan pelumba berbasikal Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA), Nur Dayana Qamelia Nazrul Nizam,13, antara pelumba yang sering ditinggalkan di tepi jalan ketika sesi latihan beramai-ramai.

Bukan sekali ia terjadi sebaliknya sudah memasuki empat kali mengalami situasi seperti itu dan ia amat menyedihkan bagi seorang pelumba muda yang sedang meningkat naik apatah dirinya seorang wanita.

Lebih merisaukan adalah soal keselamatan yang dikatakan begitu longgar ketika sesi latihan diadakan di jalan raya.

Konsep yang diamalkan oleh jurulatih berpengalaman, Datuk Ng Joo Ngan ialah mereka mesti berada dalam satu kelompok dan para pelumba harus bersama-sama sehingga ke garisan penamat dan jika terpisah, mereka akan ditinggalkan tanpa ada pengawasan dari sesiapa.

Jelas Nur Dayana, apa yang membimbangkan adalah keselamatan diri apabila harus berseorangan selepas terpisah jauh dari pelumba yang lain.

"Perasaan saya sangat takut sebab kena tinggal seorang diri kerana kawasan situ (Bukit Hantu) sangat sunyi dan memang hutan. Ia berdekatan dengan perkampungan Orang Asli dan ia agak terpencil. Saya takut saya boleh diculik atau apa-apa yang tidak diingini boleh berlaku kepada saya.

"Saya sangat sedih kerana ditinggalkan sendirian oleh jurulatih saya. Kenapa dia buat macam itu? Saya tidak dapat bersaing dengan pasukan elit," katanya.

Sementara itu ibu kepada Nur Dayana, Nor Azila Ab Razak jelas agak terkilan dengan situasi yang dialami oleh anaknya termasuk beberapa pelumba lain kerana baginya, agak tidak adil bagi pasukan muda harus mengikuti kayuhan pelumba elit yang jauh lebih bertenaga dan berpengalaman.

"Pasukan muda terdiri daripada umur 13 hingga 16 tahun yang kadang kala amat sukar untuk bersaing dengan pelumba yang lebih tua dan berpengalaman. Jika mereka berhenti rehat seketika, mereka akan ditinggalkan terus dan tiada siapa menunggu atau jaga mereka ini.

"Anak saya (Nur Dayana) berusia 13 tahun salah seorang daripada mereka yang ditinggalkan bersendirian di tepi jalan, jauh dari pengawasan jurulatih dan ibu bapa Dia telah empat kali ditinggalkan sendirian di Bukit Hantu (kawasan Hulu Langat) di mana ia sunyi, terpencil.

"Selalunya Dayana akan terbiar sorang diri lingkungan 15 kilometer daripada pengawasan pasukan dan ibu bapa. Menjadi kesukaran untuk berhubung kerana disana susah untuk mendapatkan signal telefon (isyarat telefon)."

Apabila terjadi seperti itu, dia terpaksa berkayuh lagi untuk mencari tempat yang ada isyarat telefon sebelum menghubungi kami untuk maklumkan keadaan semasa atau beritahu di mana harus ambil dia," katanya.

Untuk makluman, Nur Dayana mula bersama KLCA sejak Mei 2023 ketika berusia 12 tahun sehingga kini.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan jurulatih berbasikal Kuala Lumpur, Datuk Ng Joo Ngan dikatakan sudah tidak sesuai berada di dalam Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA) selaku jurulatih selepas dilihat gagal menjalankan tanggungjawab dengan adil dan sebaiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 3:01 PM