TAYLOR Fritz memenangi Terbuka Delray Beach. FOTO REUTERS
TAYLOR Fritz memenangi Terbuka Delray Beach. FOTO REUTERS
AFP

Miami: Juara bertahan dan pilihan utama, Taylor Fritz melebarkan rekod kemenangannya di final ATP kepada enam perlawanan selepas mengalahkan Tommy Paul 6-2, 6-3 untuk menawan Terbuka Delray Beach, awal pagi tadi.

Pemain nombor sembilan dunia, Fritz merangkul kejuaraan ATP ketujuh sepanjang kariernya dalam aksi final yang ditangguhkan pada Ahad lalu akibat hujan lebat.

Fritz menjadi pemain kedua yang merangkul kejuaraan Delray berturut-turut selepas pemain Australia, Jason Stoltenberg, pemenang pada 1996 dan 1997.

"Ia adalah perlawanan yang sangat sukar. Berharap untuk kembali tahun depan dan cuba melakukannya lagi," kata Fritz.

Selepas merangkul kejuaraan ATP pertamanya di Eastbourne pada 2019, Fritz tewas dalam empat final seterusnya, tetapi sejak St Petersburg pada 2021, dia melakar kemenangan di Indian Wells, Eastbourne dan Tokyo pada 2022 serta Delray Beach dan Atlanta tahun lalu.

Fritz mendahului 3-1 dan terus mendominasi perlawanan 5-2 sebelum memenangi set pertama dalam masa 39 minit. Dia meneruskan aksi konsisten di set kedua.

Dengan kekalahan itu, Paul yang menduduki ranking ke-14 dunia menyaksikan rekod tujuh kemenangan berturut-turut diraihnya berakhir.

Paul memenangi mahkota ATP kedua sepanjang kariernya minggu lalu di Dallas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 11:19 AM