HANNAH ketika hadir merasmikan Kejohanan Lompat Tinggi Leap to the Stars 2024 di One Utama, Petalng Jaya, hari ini. -FOTO Bernama
HANNAH ketika hadir merasmikan Kejohanan Lompat Tinggi Leap to the Stars 2024 di One Utama, Petalng Jaya, hari ini. -FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tiada 'entiti', tiada 'tangan ghaib', tiada 'pihak ketiga', hanya masalah komunikasi dalaman yang berlaku di Kejohanan Akuatik Dunia minggu lalu, itu penjelasan yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas berjumpa penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Menurut Hannah, beliau rasa tindakan yang perlu diambil dalam menyelesaikan perkara itu ialah perbaiki komunikasi dalaman bukan sahaja dalam kalangan altet dan jurulatih sahaja tetapi semua termasuk di pihak persatuan.

"Ini adalah masalah yang kita boleh tangani dan itu adalah penting. Saya akan berjumpa dengan persatuan dan jurulatih untuk mendengar cerita mereka dan kita akan pastikan kita cari jalan untuk perbaiki," katanya ketika ditemui media di Cabaran Lompat Tinggi 'Leap To The Stars' 2024.

Ujarnya, Pandelela menjelaskan kepadanya bahawa ketika pulang ke tanah air atlet terjun negara itu memberikan jawapan tidak berunsurkan pihak ketiga atau 'entiti'.

"Dia sudah menjelaskan kepada saya keadaan atlet yang pergi ke Doha (Kejohanan Akuatik Dunia). Cuma saya rasa jawapan yang diberikan kepada media dan laporan media itu mewujudkan salah faham.

"Saya puas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Pandelela dan Dhabitah dan saya akan berjumpa pula dengan jurulatih dan persatuan mendengar (penjelasan) daripada mereka," kata Hannah.

Tambahnya, banyak lagi ruang penambahbaikan tetapi pandangan Pandelela dan Dhabitah semalam penting terutama mengenai semangat kedua-dua atlet berkenaan masih hendak teruskan usaha mencuba.

Ditanya mengenai status kedua-dua penerjun itu dalam Program Road To Gold (RTG), Hannah berkata, walaupun nampak jelas (kedua-dua gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024) namun beliau tidak boleh membuat keputusan di depan media.

"Walaupun nampak jelas tetapi keputusan itu, saya tak boleh buat melalui sidang media ini, kita tunggu jawatankuasa Program RTG bermesyuarat bulan ini untuk buat satu keputusan.

"Dalam Program RTG kita memang tahu sekarang adalah untuk atlet yang mempunyai peluang meraih pingat di Olimpik Paris. Tetapi keputusan itu bukan saya seorang boleh buat tetapi kita perlu jawapan daripada jawatankuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 7:50 PM