ANDY Low. FOTO AGENSI
ANDY Low. FOTO AGENSI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mengambil maklum saranan yang disampaikan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai kegagalan badan induk itu melahirkan pelapis sukan terjun khususnya dalam kalangan atlet wanita.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Andy Low, beliau akui apa yang disampaikan Abdul Karim dan MAS bersedia untuk melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan demi kebaikan sukan terjun pada masa akan datang.

"Sekarang adalah masanya untuk pandang ke depan, terima kasih di atas saranan yang disampaikan oleh beliau," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Abdul Karim semalam berkata bahawa MAS sebelum ini dalam tempoh 10 hingga 15 tahun hanya bergantung kepada penerjun sensasi negeri berkenaan, Datuk Pandelela Rinong.

Katanya, dalam tempoh berkenaan MAS gagal melahirkan penerjun setanding atau lebih baik daripada Pandelela.

Dalam masa sama Abdul Karim juga menggesa MAS serta Majlis Sukan Negara (MSN) supaya meneliti banyak aspek untuk memastikan usaha melahirkan atlet pelapis khususnya dalam sukan terjun tidak terbantut.

Selasa lalu Andy berkata, Pandelela hanya memberi alasan kononnya wujud 'entiti' mengganggu mereka sehingga gagal beraksi cemerlang di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu.

Pandelela yang menyatakan hasrat masih belum mahu bersara walaupun kegagalan di Doha menyaksikan pintu tertutup rapat buatnya dan Nur Dhabitah Sabri bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 12:56 PM