KHIDMAT Li Rui bersama skuad terjun negara berakhir pada Mei ini selepas dia menghantar surat peletakan jawatan. FOTO ARKIB NSTP
KHIDMAT Li Rui bersama skuad terjun negara berakhir pada Mei ini selepas dia menghantar surat peletakan jawatan. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Khidmat jurulatih skuad terjun negara, Li Rui akan berakhir sehingga Mei ini selepas jurulatih dari China itu menghantar surat peletakan jawatannya, minggu lalu.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low berkata, tempat bakal ditinggalkan Li Rui itu akan diisi dua jurulatih baharu dari China, yang dijangka tiba selewat-lewatnya pertengahan bulan depan.

"Kami akan mempunyai dua jurulatih baharu dari China. Mereka dijangka tiba pada hujung bulan ini atau pertengahan April.

"Kami turut melantik dua jurulatih tempatan bagi melatih penerjun negara kerana kita akan banyak program bagi melonjakkan semula prestasi penerjun daripada elit sehingga pelapis.

"Li Rui sudah menghantar surat peletakan jawatannya dan akan terus berkhidmat sehingga Mei. Dia akan menyerahkan tugasnya kepada jurulatih baharu sebelum dia meninggalkan pasukan," katanya.

Andy berkata, kehadiran keempat-empat jurulatih baharu itu adalah sebahagian daripada pelan pemulihan yang akan dilaksanakan MAS bagi melonjakkan semula sukan terjun negara.

Pelan pemulihan lain akan dilaksanakan termasuk program pembangunan bakat negeri, program atlet muda (Fast Track), penyusunan semula program latihan persediaan kejohanan dan pelaksanaan Skor Kelayakan Minimum (MQS).

Sebelum ini, skuad terjun negara dikritik hebat apabila hanya penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises satu-satunya wakil negara layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Manakala atlet lain termasuk ratu terjun negara dan pemenang pingat dua kali di temasya terbesar dunia itu, Datuk Pandelela Rinong serta dua lagi harapan negara, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee tidak layak.

Semua mereka terlepas peluang terakhir kelayakan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, bulan lalu dan akibat kegagalan itu, Pandelela serta Dhabitah digugurkan daripada Program Road To Gold (RTG).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 5:04 PM