PANDELELA dan Nur Dhabitah gagal layak ke Paris 2024. FOTO REUTERS
PANDELELA dan Nur Dhabitah gagal layak ke Paris 2024. FOTO REUTERS
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) terpaksa menerima hakikat prestasi kurang memberangsangkan atlet terjun negara di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar dan terlepas beberapa tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Setiausaha MAS, Andy Low berkata, segala persiapan sudah dilakukan dengan begitu terperinci bagi menghadapi kejohanan penting untuk melayakkan diri ke temasya dunia itu, namun rezeki tidak memihak kepada pasukan terjun negara di Qatar.

"Kita (MAS) pun sudah buat persediaan rapi dan mereka pun sangat rajin berlatih, cuma prestasi (di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha) tidak memihak kepada mereka. Keputusan itu kita kena terima dengan jelas dan 'move forward'.

"Balik nanti, kita akan buat post mortem. Ambil pisau yang tajam kita bedah, yang mana tidak baik kita kena buang, kita kena bergerak berlipat kali ganda," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan besar faktor kecederaan mempengaruhi prestasi atlet negara terutama Datuk Pandelela Rinong.

"Persiapan rapi sudah dibuat. Kecederaan kedua-dua (Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri) atlet memang kita sudah buat sebaik yang boleh.

"Doktor MSN (Majlis Sukan Negara) pun sudah bantu sebaik mungkin. Mereka pun sudah buat yang terbaik, tapi masih ada kecederaan lama yang ganggu prestasi.

"Kecederaan lama dia (Pandelela) bahu dan belakang. Kecederaan ini jarang boleh sembuh sepenuhnya. Bila berlatih biasa, dia tidak sakit.

"Masa persediaan kita tidak tekan dia sangat, kita bagi dia pemulihan. Bila kejohanan sudah dekat, kita terpaksa latih lebih sikit, ada rasa sedikit sakit dan bila sampai sana (Doha), nak perform 100 peratus, memang rasa sakit itu ada," kata Andy.

Pandelela gagal layak ke Paris 2024 buat kali pertama selepas melakukan penampilan di temasya sukan terbesar dunia itu sejak 2008.

Dhabitah yang turut berada dalam program Road To Gold (RTG) turut gagal meraih slot.

Setakat ini, hanya Bertrand Rhodict Lises menjadi wakil tunggal negara layak secara merit ke Paris 2024 selepas melangkah ke final 10 meter (m) platform lelaki pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 5:39 PM