AKSI Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
AKSI Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
Fabian Peter


Hangzhou: Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri-Datuk Pandelela Rinong, sudah cukup gembira dengan pencapaian pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou.

Ini kerana Dhabitah hanya mempunyai masa sebulan untuk membuat persiapan menghadapi Sukan Asia, selepas mengalami kecederaan pergelangan tangan pada Julai lalu.

Dalam acara 10m platform seirama akhir wanita hari ini, gandingan negara itu mencatatkan 266.94 mata selepas lima terjunan.

Ia bukan yang terbaik dari segi pungutan mata tetapi ia sudah cukup baik untuk meletakkan mereka di tempat ketiga daripada lima negara yang bertanding.

Juara dunia dari China, Quan Hongchan-Chen Yuxi, seperti dijangka memenangi emas dengan 375.30 mata manakala Matsuri Arai-Minami Itahashi dari Jepun, meraih perak dengan 290.04 mata.

"Saya sangat gembira memenangi gangsa, kerana saya hanya mempunyai satu bulan untuk membuat persiapan bagi temasya ini selepas mengalami kecederaan.

"Mengambil kira bahawa saya masih beraksi dengan kesakitan, saya gembira dan bangga memenangi gangsa.

"Saya juga percaya bahawa saya dan Pandelela sudah memberikan yang terbaik," kata Dhabitah, yang tidak dapat beraksi di Kejohanan Dunia di Fukuoka pada Julai lalu berikutan kecederaan itu.

Pada Sukan Asia di Jakarta-Palembang sebelum ini, Dhabitah turut memenangi gangsa dalam acara yang sama bersama pasangannya ketika itu, Datuk Leong Mun Yee.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara itu adalah pada 2010 apabila Pandelela-Mun Yee memenangi perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 7:51 PM