ANIQ Hakeem (kiri) dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki MSSS L5. FOTO Ihsan Aniq Hakeem Mohd Azmi
ANIQ Hakeem (kiri) dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki MSSS L5. FOTO Ihsan Aniq Hakeem Mohd Azmi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jaguh dalam pembikinan! Itu yang boleh digambarkan di atas pencapaian dan aksi sempurna atlet berbakat, Aniq Hakeem Mohd Azmi yang muncul juara lompat tinggi peringkat Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS), baru-baru ini.

Aniq, 11, bukan saja berjaya mengenepikan pesaingnya, malah pelajar dari Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Dato' Mufti Yusof Sahabuddin, di Shah Alam itu memecahkan rekod kejohanan kategori L5 (bawah 12 tahun) dengan lakaran 1.42 meter.

Lebih membanggakan, Aniq yang juga anak kedua daripada tiga adik beradik itu dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki MSSS L5 sekali gus membakar semangatnya untuk melangkah lebih jauh lagi dalam sukan itu.

"Saya bercita-cita nak wakili negara suatu hari nanti. Saya jadikan Loo Kum Zee (bekas atlet lompat tinggi negara) idola. Saya gembira dan bersyukur atas kejayaan di MSSS," kata Aniq kepada Arena Metro.

Ibu Aniq, Marina Zulkifli akui sedia memberi sokongan dari belakang namun tetap mengigatkan anaknya agar bijak mengimbangi aktiviti sukan dan pelajaran.

"Saya sendiri tak sangka Aniq dapat pergi sejauh itu. Sebagai ibu dah tentu akan menyokong minatnya," kata Marina.

Sementara itu, guru yang mencungkil bakat Aniq di SRAI Dato' Mufti Yusof Sahabuddin, Mohd Fadzil Mohd Khairi akui anak didiknya itu memiliki potensi untuk melangkah lebih jauh.

"Aniq ada potensi besar dan semakin meningkat dari asas, dia semakin bagus terutama apabila berlatih di bawah jurulatih MSSD Petaling Perdana, jurulatih Rahimin dan jurulatih Makmor.

"Saya melatih di sekolah tetapi potensi dia semakin menyerlah dengan bantuan dua jurulatih terbabit," kata Fadzil.

Untuk rekod, SRAI Dato' Mufti Yusof Sahabuddin sudah berjaya melahirkan beberapa jaguh cilik khususnya sepanjang tahun ini.

Selain Aniq, sebelum ini pelajar berusia lapan tahun, Nayla Kamellia Mohd Razif muncul juara Kejohanan Push Bike Antarabangsa 2023 di Velodrom Johor di Johor Bharu, pada Mac lalu.

Pasukan bola sepak juga mempamerkan taring pada awal tahun ini apabila nyata muncul juara Liga Bolasepak Shah Alam serta saingan Super Cup dan membolot tiga anugerah babitkan penjaring terbanyak, pemain paling bernilai dan pemain terbaik perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 7:13 PM