Ihsan FB Istana Negara
Ihsan FB Istana Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas pemain golf negara, Zainal Abidin Mohamed Yusof, 78, meninggal dunia akibat jangkitan buah pinggang pada jam 6:30 pagi hari ini.

Perkara itu disahkan oleh abang Allahyarham, Sahabuddin Yusof ketika dihubungi hari ini.

Menurut Sahabuddin, jenazah Allahyarham dikebumikan jam 4 petang tadi di Kedah.

Allahyarham Zainal Abidin merupakan legenda golf negara pada era 60-an hingga 80-an dan pernah mewakili Malaysia di Kejohanan Golf Piala Dunia sebanyak lima kali serta Piala Dunhill di St. Andrew, Scotland.

Beliau yang berasal dari Ipoh, Perak, dikenali sebagai pemain profesional bersama tiga adik beradiknya iaitu Khairudin Yusof, Sahabuddin Yusof dan Nazamuddin Yusof.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang tadi turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi hantaran di Facebook Istana Negara.

"Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham kepada negara amat dihargai dan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada sukan golf tanah air," demikian menurut hantaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 10:39 PM