ANIQ (kiri) bersama jurulatih Naharuddin di Kejohanan Angkat Berat dunia di Uzbekistan.
ANIQ (kiri) bersama jurulatih Naharuddin di Kejohanan Angkat Berat dunia di Uzbekistan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet angkat berat muda negara, Mohamad Aniq Kasdan melakar sejarah apabila muncul atlet pertama negara meraih pingat di Kejohanan Angkat Berat Dunia di Uzbekistan, semalam.

Beraksi dalam kategori 55 kilogram (kg), Aniq berjaya memenangi pingat perak dalam kategori clean and jerk di Kejohanan Dunia dan meraih emas di Kelayakan Sukan Komanwel 2022 yang berlangsung serentak.

Pemenang pingat perak Sukan Malaysia 2018 itu melakukan angkatan 107kg bagi snatch sebelum cemerlang merekodkan angkatan 142kg dalam clean and jerk untuk mencatat keseluruhan 249kg sekali gus mengakhiri saingan keseluruhan di kedudukan kelima selain turut memecahkan rekod kebangsaan.

Kejayaan itu secara tidak langsung meredakan badai melanda Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang terus dibayangi dengan isu doping.

Aniq kini membuktikan dia adalah individu tepat untuk membantu skuad negara mempertahan emas di temasya Komanwel dan menjadi pengganti terbaik untuk Azroy Hazal Wafie Ahmad Izhar yang dikesan positif doping.

Bagi jurulatih angkat berat negara, Naharuddin Mahyudin, beliau cukup berpuas hati dengan prestasi dan kejayaan Aniq meraih perak bagi kategori clean and jerk.

"Ini kali pertama kita meraih pingat di Kejohanan Dunia. Pada mulanya ia tampak sukar dalam acara snatch tapi bila memasuki acara clean and jerk peluang itu nampak cerah. "Kejayaan ini secara tidak langsung menjadi bukti kebangkitan semula sukan angkat berat selepas dipalit beberapa isu membabitkan doping," katanya.

Cabaran Malaysia di Kejohanan Dunia dan Kelayakan Sukan Komanwel akan diteruskan dua lagi atlet negara, Muhamad Aznil Bidin dan Muhammad Erry Hidayat Muhammad Hidayat yang akan turun beraksi bagi kategori masing-masing esok dan Jumaat.

Aznil akan beraksi dalam kategori 61kg manakala Erry bagi kategori 72kg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 8:33 PM