AZIZUL (dua kanan) dilihat ketinggalan ketika menuju garisan penamat aksi separuh akhir acara keirin. FOTO REUTERS
AZIZUL (dua kanan) dilihat ketinggalan ketika menuju garisan penamat aksi separuh akhir acara keirin. FOTO REUTERS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang jelas sekali terkilan selepas hanya mencatat kedudukan kesembilan dalam acara keirin dan pecut pada penampilan terakhir di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023.

Menurut pelumba berusia 35 tahun itu, ia bukanlah keputusan yang diinginkannya terutama selepas disingkirkan di pusingan kedua acara pecut dan terkandas di separuh akhir bagi saingan keirin awal pagi tadi.

"Tempat ke-9 untuk acara keirin dan juga tempat ke-9 untuk acara pecut individu. Bukanlah keputusan yang saya mahukan untuk penampilan terakhir di kejohanan dunia ini namun saya harus menerima dengan hati yang terbuka," katanya di akaun media sosial, Facebook hari ini.

Dia yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman berlapang dada menerima keputusan berkenaan.

"Kita merancang, Allah merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Dari sudut yang positif, saya masih mendapat banyak kutipan mata untuk kelayakkan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya juga ada membuat video penjelasan mengenai apa yang berlaku sepanjang perlumbaan keirin di sini secara terperinci. Insya-Allah saya akan kongsikan di posting yang berikutnya.

"Terima kasih atas sokongan dan doa dari anda semua serta ribuan maaf diatas prestasi di sini," kata Azizulhasni yang sebelum ini pernah meraih emas di kejohanan berkenaan dalam acara keirin pada 2017.

Azizulhasni menempatkan diri di tempat kesembilan dalam perlumbaan klasifikasi ketujuh hingga ke-12 berada di belakang Matthew Glaetzer (Australia) dan Kaiya Ota (Jepun).

Dia yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman pada awalnya tidak berdepan masalah di peringkat suku akhir selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik untuk mara ke separuh akhir bersama-sama Jeffrey Hoogland (Belanda), Shinji Nakano (Jepun) dan Thomas Cornish (Australia).

Bagaimanapun, di peringkat separuh akhir dia terpaksa akur selepas terkepung di bahagian dalam antara penyandang juara, Harrie Lavreysen (Belanda), Jack Carlin (Britain) dan Kevin Quintero (Colombia) yang menyaksikan ketiga-tiga lawannya berjaya mara ke final.

Emas dalam acara final berjaya diraih Quintero selepas menamatkan penguasaan Lavreysen yang sebelum ini muncul juara tiga kali berturut-turut, manakala Matthew Richardson dari Australia membawa pulang perak dan Nakano melengkapkan podium di tempat ketiga.

Kejayaan Quintero yang berusia 24 tahun memadam kekecewaan tahun lalu apabila dia sekadar meraih gangsa dalam acara sama di Saint Quentin en Yvelines, Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 10:36 AM