AZIZULHASNI (kanan) kandas di separuh akhir keirin. FOTO REUTERS
AZIZULHASNI (kanan) kandas di separuh akhir keirin. FOTO REUTERS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perjuangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 berakhir tanpa sebarang pingat selepas dia terkandas dalam saingan separuh akhir keirin di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow awal pagi tadi.

Azizulhasni hanya menempatkan diri di tempat kesembilan dalam perlumbaan klasifikasi ketujuh hingga ke-12, sekali gus menamatkan impiannya menambah satu lagi koleksi emas di kejohanan berkenaan selepas berjaya melakukannya pada 2017.

Dia yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman pada awalnya tidak berdepan masalah di peringkat suku akhir selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik untuk mara ke separuh akhir bersama-sama Jeffrey Hoogland (Belanda), Shinji Nakano (Jepun) dan Thomas Cornish (Australia).

Bagaimanapun, di peringkat separuh akhir pelumba berusia 35 tahun itu terpaksa akur selepas terkepung di bahagian dalam antara penyandang juara, Harrie Lavreysen (Belanda), Jack Carlin (Britain) dan Kevin Quintero (Colombia) yang menyaksikan ketiga-tiga lawannya berjaya mara ke final.

Azizulhasni yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, cuba untuk melupakan kekecewaan di separuh akhir dengan memberi kayuhan bertenaga di klasifikasi ketujuh hingga ke-12 namun terpaksa akur berada di belakang Matthew Glaetzer (Australia) dan Kaiya Ota (Jepun).

Sebelum ini dalam acara pecut pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu disingkirkan pada pusingan kedua selepas dikatakan memasuki lorong Cornish di laluan lurus terakhir.

Emas dalam acara final keirin berjaya diraih Quintero selepas menamatkan penguasaan Lavreysen yang sebelum ini muncul juara tiga kali berturut-turut, manakala Matthew Richardson dari Australia membawa pulang perak dan Nakano melengkapkan podium di tempat ketiga.

Kejayaan Quintero yang berusia 24 tahun memadam kekecewaan tahun lalu apabila dia sekadar meraih gangsa dalam acara sama di Saint Quentin en Yvelines, Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 6:59 AM