BEASLEY (kiri) bergandingan semula dengan Azizulhasni. FOTO Azizulhasni Awang
BEASLEY (kiri) bergandingan semula dengan Azizulhasni. FOTO Azizulhasni Awang
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley tetap berpuas hati dengan persembahan Datuk Azizulhasni Awang yang menunjukkan petanda positif dalam penampilan semula pertamanya di perlumbaan pembukaan Liga Juara-Juara Berbasikal Trek UCI di Mallorca, Sepanyol, semalam.

Menurutnya, jaguh berbasikal trek negara itu menunjukkan perlumbaan yang sempurna dalam acara keirin dan gembira dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya itu apabila berjaya memberikan persaingan yang sengit biarpun beraksi di kejohanan pertamanya selepas 14 bulan berehat.

"Dia diundi di kedudukan kelima dan terus ke depan sebaik motor meninggalkan trek. Dari situ pelumba Jepun (Shinji Nakano) mula mengerah segala kudratnya dan kami berada di kedudukan dua hampir sepanjang perlumbaan.

"Apabila dua pelumba dari Australia itu mula memecut di pusingan yang terakhir, Azizulhasni sudah mula keletihan.

"Dalam acara pecut, dia mengejutkan semua orang apabila hampir memenangi perlumbaan (saringan). Dia hanya terlepas satu sentimeter dan dari tempat saya berdiri (sudut pandangan) pada masa itu, saya fikir dia sampai ke garisan penamat terlebih dahulu.

"Ia adalah perlumbaan peringkat tertinggi pertamanya, saya tidak menjangka dia akan begitu kompetitif serta-merta. Ini adalah petanda yang sangat baik," kata Beasley.

Pelumba berusia 34 tahun itu yang terpaksa menjalani pembedahan jantung pada April lalu menamatkan saingan di tempat keempat pada saringan 2 pusingan kelayakan acara keirin yang berlangsung di Velodrom Illes Balears.

Pusingan kelayakan itu diungguli dua pelumba Australia, Matthew Richardson dan Thomas Cornish manakala Nakano dari Jepun ketiga.

Dua pelumba teratas dalam setiap saringan mara ke pentas final.

Juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreyse menjuarai acara berkenaan manakala pelumba Jerman, Stefan Botticher dan Richardson masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

Bagi acara pecut dia mengakhiri saringan 2 pusingan kelayakan di tempat kedua, hanya dipisahkan 0.004 saat di belakang pelumba Israel, Mikhail Yakolev yang muncul juara manakala Jair Tjon En Fa dari Surina ketiga.

Hanya juara dalam setiap saringan bagi acara pecut layak beraksi di separuh akhir.

Kali terakhir 'The Pocket Rocketman' menyertai kejohanan adalah ketika memenangi pingat perak keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ogos tahun lalu.

Pusingan kedua Liga Juara-Juara Berbasikal Trek UCI akan diteruskan di Berlin, Jerman pada 19 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 5:50 PM