Aida Adilah Mat


KECACATAN bukan halangan buat Carmen Lim (gambar) mengejar impian bergelar seorang peguam.

Malah temasya Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur menjadi medan untuknya membakar semangat dan meneruskan perjuangan mengejar cita-cita bergelar atlet dan peguam dalam bidang perniagaan.

Menyasarkan untuk mempertahankan emas dalam acara 50 meter gaya bebas yang dimenanginya dua tahun lalu di Singapura, Carmen berkata, dia akan cuba memberi yang terbaik dalam acara itu selepas sekadar meraih perak dalam acara 100m gaya bebas S8 dengan merekodkan 1 minit 29.75 saat pada hari pertama renang dipertandingkan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Acara 100m gaya bebas S8 dimenangi perenang Thailand, Thongbai Chaisawa selepas mencatat 1:28.99s dan gangsa milik perenang Indonesia, Nor Aimah 1:34.54s.

Ditanya sama ada atlet berusia 17 tahun yang cacat sebelah tangan kiri sejak dilahirkan berkata, apa yang boleh dijanjikan adalah memberikan yang terbaik.

“Saya tidak berani janji kerana saya tidak tahu kekuatan perenang lain.

“Tapi jika boleh saya mahu memecahkan rekod temasya dan berusaha memberi yang terbaik,” katanya.

Pada aksi hari pertama Carmen berpeluang cerah untuk menghadiahkan emas namun kesilapan teknikal hingga menyebabkan dia tertelan air ketika beraksi merencatkan kuakan renangannya dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Bagaimanapun kata Carmen, sukan hanyalah aktiviti untuk mengisi masa lapang kerana fokus utamanya adalah pelajaran dan akan menduduki GCE ‘O’ Level di Sekolah Sri Garden Kuala Lumpur selepas ini serta dijadualkan melanjutkan pelajaran di England.

Katanya, dia berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara bagi merealisasikan impian bergelar peguam.

Carmen akan turun Khamis ini dalam acara 50m gaya bebas dan 100m kuak lentang.

Sementara itu seorang lagi perenang wanita negara Puteri Nur Diyana Jawahir Megat Muhammad Fadzil menghadiahkan gangsa dalam acara 50m kuak dada SB14 selepas merekodkan 45.44s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 2:27 PM