DJOKOVIC meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan menentang Rublev.
DJOKOVIC meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan menentang Rublev.
AFP

London: Novak Djokovic berkata dia menganggap dirinya pemain pilihan untuk menjuarai gelaran Wimbledon tahun ini walaupun pendapat itu menjadikannya tampak agak 'sombong'.

Bintang Serbia itu mara ke separuh akhir Wimbledon kali ke-12 dan menyamai rekod ke-46 di Grand Slam selepas menewaskan Andrey Rublev dengan empat set awal pagi tadi.

Djokovic yang memburu gelaran kelapan di Kelab All England dan gelaran utama ke-24 bangkit dengan kemenangan 4-6, 6-1, 6-4, 6-3 dan berdepan pemain Itali Jannik Sinner untuk memburu tempat ke final.

Dia kini pemain paling banyak mara ke separuh akhir Slam selain Roger Federer yang sudah pun bersara.

"Saya tak mahu tampak sombong tetapi sudah tentu saya anggap saya pemain pilihan," kata Djokovic.

"Berdasarkan keputusan saya dalam karier saya di sini, empat yang terakhir di Wimbledon saya menang, jadi saya anggap saya pilihan juara."

Pemain berusia 36 tahun itu beraksi Grand Slam ke-400nya awal pagi tadi dan menegaskan dia seronok menjadi pemain yang perlu ditewaskan.

"Saya sukakannya. Setiap pemain mahu berada di posisi di mana mereka mahu menewaskan anda," katanya selepas mengekalkan rekod tidak pernah tewas di Centre Court sejak 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 10:18 AM