BARISAN Melaka Titans musim ini. -FOTO Nazri Abu Bakar
BARISAN Melaka Titans musim ini. -FOTO Nazri Abu Bakar
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka : Dua pemain import dari Indonesia disenaraikan mewakili Melaka Titans dalam saingan Kejohanan Sepak Takraw (STL) Premier, musim depan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Aziz berkata, dua import terbabit membabitkan masing-masing bagi posisi tekong dan killer dalam usaha memperkasa skuad terbabit.

Katanya, ia antara usaha memantapkan persembahan pasukan selain meningkatkan daya saing pemain tempatan sekali gus melonjak persembahan pasukan setanding dengan negeri-negeri yang bertanding dalam STL Premier.

Malah perbincangan dengan barisan jawatankuasa untuk merealisasikan penyertaan barisan import bagi mewakili Melaka Titans pada saingan yang dijadualkan Januari tahun hadapan mendapat respon amat positif.

Musim ini, Melaka Titans dinobatkan juara Divisyen 1 kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 selepas menewaskan KPT-Masum Knights dalam perlawanan akhir .

Dalam pada itu Melaka juga berhasrat menjadi penganjur STL musim depan selepas barisan ahli jawatankuasa persatuan sudah membincangkan perkara berkenaan.

"Malah Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali juga bersetuju untuk menjadikan Melaka sebagai antara lokasi penganjuran kejohanan berkenaan.

"Dalam masa sama persatuan juga merancang untuk menganjurkan pelbagai pertandingan sepak takraw dalam mencungkil bakat dalam kalangan pemain baharu berkualiti," katanya.

Menurutnya, Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Negeri Melaka Piala Sulaiman 2022 yang diadakan baru-baru ini juga menampilkan pemain berbakat untuk diketengahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 1:44 PM