PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan. FOTO ARKIB NSTP
PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan. FOTO ARKIB NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) meletakkan sasaran untuk mempertahankan satu pingat emas dimenangi pada edisi lalu ketika turun bertanding di Sukan Asia Hangzhou, September depan.

Keyakinan itu disuarakan Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan yang optimis sasaran itu mampu untuk dicapai berdasarkan prestasi semasa pemain yang menampilkan aksi terbaik di Sukan Sea Kemboja, baru-baru ini.

Beliau memberi bayangan kemungkinan besar 70 hingga 80 peratus pemain yang beraksi di Sukan Sea Kemboja akan dikekalkan, namun pemilihan pemain masih terbuka dan akan ditentukan oleh barisan kejurulatihan negara.

"Di Sukan Asia Hangzhou, ada tiga acara dipertandingkan, namun skuad lelaki akan menyertai acara regu dan regu berpasukan sahaja manakala skuad wanita pula akan menyertai acara regu dan quadron.

"Pada Sukan Asia di Palembang (Indonesia), kami meraih emas dalam acara regu dan kali ini kami yakin dapat mempertahankan pingat itu dan ada peluang cerah biarpun berjumpa Thailand di final.

"Semasa Sukan Sea bulan lalu, kami menang dengan regu utama mereka dalam acara berpasukan, namun ketika itu nasib tak menyebelahi untuk regu berikutnya.

"Di Sukan Asia nanti, kami akan berusaha lebih keras dan bersedia untuk jumpa (menentang) siapa sahaja termasuk Thailand sekiranya mereka mengambil keputusan untuk menyertai acara regu nanti," katanya selepas menghadiri mesyuarat pemilihan atlet ke Sukan Asia Sukan Asia Hangzhou, di Wisma MOM, hari ini.

Di Sukan Asia Pelembang, skuad negara menamatkan kemarau emas selama 24 tahun selepas menumbangkan tuan rumah, Indonesia 2-1 di final antara regu.

Ketika itu, regu negara diwakili Syahir Rosdi (tekong), Zulkifli Abdul Razak (tekong), Norhafizi Abdul Razak (apit kanan), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 5:42 PM