PEMAIN negara bergambar kenangan bersama penyokong selepas muncul juara.
PEMAIN negara bergambar kenangan bersama penyokong selepas muncul juara.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Air mata Datuk Ahmad Ismail sejurus selepas Malaysia muncul juara dengan mengatasi gergasi dunia, Thailand di pentas final Kejohanan Istaf Super Series Malaysia 2015 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka Ayer Keroh di sini, semalam sudah cukup menggambarkan betapa berharganya kejayaan anak buahnya itu.

Kemantapan gandingan Syahir Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri), Hanafiah Dollah dan Khairol Zaman (apit kanan) berjaya mematah ego trio Thailand yang dibarisi Kritsanapong Nontakote dan Siriwat Sakha (tekong), Panupong Petlue (apit kiri) serta Thawisak Thongsai (apit kanan) dengan kiraan 21-7 dan 21-19 dalam 60 minit.

“Alhamdulillah. Ini kemenangan sangat bermakna selepas sukan sepak takraw diuji dengan pelbagai perkara sejak kebelakangan ini. Bagi saya, ini hanyalah permulaan kepada episod kejayaan yang kita harapkan dan saya yakin, pemain kita akan terus menyinar selepas ini.

“Bunga-bunga kejayaan Malaysia dalam kejohanan ini sudah mula kelihatan sejak siri pertama bulan lalu apabila kita tewas tipis di tie-break kepada regu Thailand. Ketika itu, mereka menurunkan pemain lebih junior tetapi kali ini mereka membawa tekong serta apit kiri senior mereka. Kedua-dua pemain itu sering menyarung jersi Thailand dalam kejohanan besar sebelum ini.

“Kejayaan ini sangat bermakna buat kami dan saya harap persembahan mengagumkan daripada pemain kita akan dapat diteruskan ketika kejohanan sama dilangsungkan di Pekan Baru, Indonesia bulan depan,” kata Ahmad yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) itu.

Kali terakhir Malaysia mengalahkan Thailand ketika Kejohanan Siri Dunia yang berlangsung di ibu negara pada 2009. Ketika itu, Malaysia diwakili Syazwan Hussin, Hamikhairi Roslan dan Mohd Shafiq Ab Rahman.

Di Ayer Keroh semalam, Thailand bagai mahu merendahkan prestasi negara apabila hanya membariskan tekong simpanan, Kritsanapong pada set pertama dan merehatkan Siriwat namun selepas kedudukan 10-5, jurulatih Simprn Sunyabut pantas membawa masuk Siriwat.

Begitupun, servis berbisa Syahir sambil dibantu rejaman padu Hanafiah gagal dibendung lawan sehingga juara dunia itu kecundang 7-21 dalam masa 18 minit.

Tidak cukup dengan Siriwat, Simprn terpaksa memasukkan Suriyon Koonpimon yang mengambil alih peranan Thawisak pada set kedua dan ia seakan membuahkan hasil apabila Thailand bermula garang.

Kemasukan Khairol menyaksikan kebangkitan serta-merta skuad negara dengan trio Malaysia mula mengejar sengit dan 20-19.

Mata penamat regu negara akhirnya hadir apabila servis Siriwat disahkan keluar oleh pengadil Mohd Zubir Shaari.

Jurulatih negara, Abd Talib pantas memuji aksi anak buahnya dan beliau berharap mereka tidak leka dengan kejayaan itu sebaliknya perlu terus berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 7:36 AM