Rosmadi Mohamad. FOTO Malik Muhamad
Rosmadi Mohamad. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Sebanyak 50 regu bakal berentap dalam Kejohanan Sepaktakraw Piala Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) yang bakal berlangsung di Dewan Balora Ketengah, Dungun, bermula Jumaat ini.

Kejohanan edisi pertama yang berlangsung selama dua hari di luar Kuala Terengganu itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM4,800.

Pengurus kejohanan, Rosmadi Mohamad berkata, beliau tidak menduga kejohanan antara regu tertutup Terengganu itu mendapat sambutan di luar jangkaan berbanding sasaran awal hanya 32 regu.

"Sambutan setakat ini diluar jangkaan dengan penyertaan sebanyak 50 regu bersaing dalam kejohanan edisi pertama merebut piala itu.

"Faktor kejohanan Liga Sepaktakraw (STL) yang sedang berlangsung selain hadiah lumayan mungkin antara sebab penyertaan ramai diterima.

"Kita harapkan dengan penyertaan itu matlamat kita untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu tercapai selain ianya salah satu program pembangunan persatuan.

"Kami juga harapkan kejohanan anjuran bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan pihak Ketengah itu bakal menjadi acara tahunan lebih-lebih lagi sukan tradisi itu kian diminati khususnya golongan muda," katanya.

Sebelum ini Terengganu pernah melahirkan ramai pemain berbakat termasuk bekas perejam skuad emas kebangsaan, Mohd Futra Abd Ghani, Ahmad Md Zain (apit kanan), Mohd Nor Abdullah (tekong), Mohd Yusof Chik (apit kanan) dan Mohd Zulhafizazuddin Roslan apit kiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 10:29 PM