SIVASANGARI tewaskan pilihan pertama dari Jepun. FOTO Hong Kong Squash
SIVASANGARI tewaskan pilihan pertama dari Jepun. FOTO Hong Kong Squash
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Dua pemain skuasy negara, S Sivasangari dan Ng Eain Yow berpeluang merangkul kejuaraan Kejohanan Skuasy Individu Asia di Hong Kong selepas masing-masing menempah tiket ke pentas final.

Pada aksi separuh akhir hari ini, pemain wanita negara, Sivasangari yang turun beraksi terlebih dahulu, mengejutkan pilihan pertama kejohanan dari Jepun, Satomi Watanabe 11-9, 14-12, 11-8 dalam tempoh 36 minit.

Kali terakhir atlet wanita negara menjuarai kejohanan dua kali setahun itu pada 2015 menerusi legenda skuasy negara, Datuk Nicol David yang turut memenangi gelaran itu pada 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008, 2010 dan 2011.

Pada aksi final esok, Sivasangari yang menduduki ranking ke-50 dunia, bakal bertemu wakil tuan rumah, Chan Sin Yuk.

Pemain yang menduduki ranking ke-39 dunia itu mara ke final selepas mengejutkan rakan senegara, Tomato Ho 7-11, 11-5, 11-5, 11-7.

Sementara itu dalam saingan lelaki, Eain Yow yang diletakkan selaku pilihan pertama, menewaskan wakil tuan rumah, Henry Leung 11-5, 11-8, 12-10 dalam masa 43 minit.

Eain Yow berpeluang mempertahankan gelaran yang dimenanginya dua tahun lalu di Islamabad apabila bakal bertemu pemain India, V Senthilkumar pada aksi final.

Senthilkumar yang menduduki ranking ke-115 dunia melakar kejutan menewaskan seorang lagi wakil negara, Ivan Yuen 11-4, 11-6, 8-11, 11-7 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 8:48 PM