MEGAT (tengah) pada Majlis Mesra Aidilfitri anjurannya yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Ferzalfie Fauzi
MEGAT (tengah) pada Majlis Mesra Aidilfitri anjurannya yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Ferzalfie Fauzi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jangan risau untuk tekan butang 'reset', itu pandangan yang diberikan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang berani membuat rombakan besar-besaran dan mengetengahkan atlet muda di Sukan Sea Kemboja sehingga membuahkan hasil membawa pulang empat emas.

Menurutnya, ternyata keberanian itu membuahkan hasil dan melepasi sasaran dua emas yang disasarkan sebelum ini walaupun hampir 70 peratus pesilat negara adalah muka baru bertanding di temasya berkenaan.

"Jadi mungkin pendapat dan pandangan saya ini kepada kawan-kawan jangan kita risau, hanya lakukan yang terbaik. Jika keputusan itu tidak memberangsangkan kita ada asas untuk menyatakan mereka (atlet) masih baharu," katanya ketika ditemui di Majlis Mesra Aidilfitri anjuran beliau di Gombak semalam.

Ujarnya, beliau mengambil satu risiko besar dan juga menerima kritikan ketika hendak membuat pembaharuan dalam skuad kebangsaan.

"Meskipun tiada secara berdepan tetapi saya dengar cakap-cakap belakang daripada warga silat sendiri. Saya dengar keputusan yang saya buat itu adalah tidak tepat dan keputusan untuk merombak pasukan mahupun kejurulatihan akan memakan diri.

"Tetapi saya nekad, jika kita tak buat sesuatu maka kita tidak dapat keputusan terbaik. Daripada kita menghantar mereka yang bertaraf dunia, jaguh dunia, juara sukan Asia tetapi kalah di pentas Sukan Seaia adalah satu perkara yang tidak boleh diterima peminat sukan dalam tanah air.

"Saya pernah menjadi CDM (ketua kontinjen), saya tahu nilai pingat emas Sukan Sea kepada rakyat Malaysia.. cukup tinggi. Sebab itu bila saya fikir Sukan Sea hanya beberapa bulan daripada kejohanan dunia, saya mesti berani buat keputusan supaya keputusan di Hanoi tidak berulang. Di Hanoi kita hanya bawa pulang dua emas sahaja. Jadi saya mesti berani lakukan sesuatu," katanya yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Sea Filipina 2019.

Pesaka adalah persatuan yang menyahut cabaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mengetengahkan atlet muda/pembangunan ke Sukan Sea Kemboja.

Semalam Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata model sukan di negara sudah lapuk dan perlukan perubahan dan bawa masuk idea baharu.

Beliau menambah bahawa tempoh masa sekarang ini adalah yang terbaik untuk arena sukan negara menekan butang 'reset'.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 3:35 PM