GARIN melakukan pukulan ketika menentang Ruud. FOTO Reuters
GARIN melakukan pukulan ketika menentang Ruud. FOTO Reuters
AFP

Indian Wells: Pemain tenis Chile dari pusingan kelayakan, Cristian Garin mengejutkan pilihan ketiga, Casper Ruud 6-4, 7-6 (7/2) untuk mara ke pusingan keempat Indian Wells.

Permainan menyerang Garin membuahkan hasil selepas dia menundukkan pemain nombor empa dunia itu dalam tempoh dua jam.

Garin, yang menduduki ranking ke-97 dunia, meraih kemenangan pertama ke atas pemain kelompok 10 terbaik di gelanggang permukaan keras dan meneruskan aksi cemerlang di padang pasir California, selepas belum pernah tumpas di sebarang set dalam aksi kelayakan atau undian utama.

"Saya gembira dengan cara saya bermain hari ini. Saya sangat agresif dalam keseluruhan perlawanan," kata pemain berusia 26 tahun itu.

Ruud sebelum ini mengharapkan kemenangan pantas ke atas Diego Schwartzman di pusingan kedua menjadi tanda kebangkitan di mana dia tidak melepasi pusingan kedua dalam tiga kejohanan sebelumnya.

Pemain Norway berusia 24 tahu itu yang juga naib juara dua kali Grand Slam pada 2022 tumpas kepada Jenson Brooksby di pusingan kedua Terbuka Australia.

Dia hanya sekali mematahkan Servis Garin, untuk mengikat kedudukan 3-3 di set kedua, namun lawannya itu kembali membara dalam penentuan tiebreak.

"Agresif ketika di jaring, itulah cara permainan yang saya suka dan senjata yang diperlukan untuk menumpaskan pemain seperti Ruud.

"Saya mahu terus mempertingkatkan permainan dan menikmati kejohanan ini," kata Garin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 10:03 AM