PELARI pecut Amerika, Noah Lyles. FOTO AFP
PELARI pecut Amerika, Noah Lyles. FOTO AFP
AFP

New York: Pelari pecut Amerika, Noah Lyles berharap kemenangan dalam acara larian 60 meter hujung minggu ini di Kejohanan Millrose, New York akan membuktikan dia berada di landasan yang tepat untuk meraih emas 100 meter (m) pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Penyandang juara dunia 200m itu akan bersaing menentang juara bertahan Christian Coleman di Armory Sabtu ini ketika dia cuba membuktikan kemampuannya dalam acara larian pecut.

Lyles, pemenang 200m pada Kejohanan Dunia 2019 dan 2022, bagaimanapun mengakui bahawa "kelemahan terbesarnya" ialah 20 meter pertama perlumbaan.

"Sesuatu yang perlu dilakukan ialah pecutan permulaan saya perlu lancar," kata pelari berusia 25 tahun.

Lyles yang berasal dari Florida mencatat rekod terbaik peribadi 6.51s ketika memenangi acara 60m di Grand Prix Tertutup Boston minggu lalu.

Kemenangan Sabtu ini di trek terpantas dunia, akan meningkat tahap keyakinannya ketika dia mengintai menambah gelaran dalam acara 100m di Kejohanan Dunia di Budapest Ogos ini.

"Semakin berusaha memperbaiki kelemahan saya, semakin kurang kelemahan itu dan semakin saya tidak dapat dikalahkan," kata Lyles.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 9:21 AM