LYLES buktikan dia pelari terpantas dunia. FOTO Reuters
LYLES buktikan dia pelari terpantas dunia. FOTO Reuters
AFP

Budapest: Noah Lyles meraih kegembiraan berganda di Budapest dengan kegembiraan itu turut dirasai Shericka Jackson yang mengatasi Sha'Carri Richardson untuk menguasai acara 200m di Kejohanan Olahraga Dunia.

Lyles muncul pelari kelima meraih kejayaan berganda dan yang pertama sejak Usain Bolt melakukannya pada 2015 ketika dia merangkul gelaran dunia individu keempatnya.

"Dalam dokumentari saya, saya bercakap apa yang ingin dilakukan, menjadi seorang yang berbeza daripada orang lain dan memenangi emas berganda adalah salah satu perkara dalam senarai saya," kata pelari Amerika berusia 26 tahun itu yang boleh memenangi emas ketiga di Ibu negara Hungary itu apabila turun dalam acara lari berganti-ganti 4x100m nanti.

"Saya mahu menunjukkan saya berbeza. Hari ini saya keluar dan membuktikannya," kata Lyles, yang muncul pelari keempat AS melakukan catatan emas berganda acara pecut.

Lyles mencatat 19.51s untuk memenangi acara itu manakala rakan senegaranya Erriyon Knighton perak dengan masa 19.75s dan Letsile Tebogo dari Botswana gangsa dengan 19.81s.

Sementara itu dalam acara wanita, Shericka menampilkan larian terbaiknya ketika pelari Jamaica berusia 29 tahun itu bangkit daripada kekecewaan ditundukkan Richardson dalam acara 100m dengan masa 21.41 saat, memecahkan rekod kejohanan miliknya sendiri yang dilakar tahun lalu.

Catatan masanya hanya 0.07 perlahan daripada rekod dunia 21.34s dicatat pelari AS, Florence Griffith-Joyner pada 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 11:31 AM