SHAHMI yang juga pemain kelab Cobra mendapat tawaran beraksi bersama pasukan Bourges XV.
SHAHMI yang juga pemain kelab Cobra mendapat tawaran beraksi bersama pasukan Bourges XV.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain ragbi negara terus mendapat tempat di kelab antarabangsa apabila terbaharu, bekas tonggak 15 sebelah Bawah 23 tahun, Shahmi Shukor akan beraksi bersama kelab berpangkalan di Perancis.

Shahmi yang juga pemain kelab Cobra mendapat tawaran beraksi bersama pasukan Bourges XV selepas melalui sesi pemilihan pada tahun lalu.

Ini bermakna, Shahmi menjadi pemain Malaysia pertama mencipta nama beraksi di liga Ragbi Perancis dengan kontrak selama setahun.

Shahmi berkata, dia melalui proses pemilihan pada Ogos tahun lalu membabitkan tiga kelab di Perancis sebelum dua daripada pasukan itu berminat untuk mendapat khidmatnya bagi mengharungi saingan liga 2023.

"Saya beraksi di Liga Profesional Kebangsaan dan Persekutuan Perancis iaitu antara saingan liga utama di Perancis membabitkan pemain hebat negara terbabit.

"Perkara utama saya terima tawaran adalah mahu menimba lebih banyak ilmu dan jika ada rezeki mahu mencipta nama dalam saingan liga berkenaan.

"Pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh mungkin boleh dimanfaatkan apabila beraksi bersama pasukan negara kelak," katanya.

Sebelum ini, tiga pemain ragbi negara iaitu Mohamad Amin Jamaluddin, Noor Alif Ikhmal Noor Hisham dan Samuel Rentap Meran ditawarkan beraksi bersama kelab TV 1834 Pforzheim di Jerman bagi musim 2021/2022.

Selain itu, tonggak pasukan ragbi 15 sebelah negara, K Dineshvaran berkelana ke Liga Ragbi Amerika Syarikat (AS) bersama kelab Houston Sabercats.

Lawrence Petrus atau nama timangannya Sabahan Bulldozer, pemain ragbi negara yang kini sedang mencipta nama bersama pasukan Universiti Queensland, Brisbane, Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 6:12 PM