SKUAD negara menamatkan aksi Piala Dunia di kedudukan ke-13. FOTO FIH
SKUAD negara menamatkan aksi Piala Dunia di kedudukan ke-13. FOTO FIH
Jugjet Singh


Rourkela, India: Shamie Irfan Suhaimi, 20 menjaringkan gol kemenangan buat Malaysia ketika menewaskan Jepun 3-2 di Stadium Birsa Munda, hari ini sekali gus membantu Malaysia menamatkan saingan Piala Dunia di tempat ke-13.

Mengikut format perlawanan pelik Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia akan berkongsi tempat ke-13 bersama pemenang di antara Chile menentang Perancis.

"Secara keseluruhannya ia adalah kemenangan yang baik menentang Jepun, dan walaupun kami tidak mencapai misi kami (ke suku akhir), statistik menunjukkan peningkatan.

"Kami bermain enam perlawanan dan menang tiga, kalah dua dan seri satu (2-2 menentang Sepanyol dan tewas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti).

"Dan dalam 24 suku permainan, kami hanya mengalami dua suku buruk iaitu menentang Afrika Selatan (30 minit pertama). Isunya bagi saya ialah kami tewas dalam perlawanan dengan Afrika Selatan dan itu meletakkan kami di bawah (dan bukan tempat ke-9-12).

"Saya masih berbangga dengan pemain saya, kerana ia bukan mudah, setiap perlawanan perlu bekerja keras dan mereka berjuang sehingga ke penghujung," kata jurulatih Malaysia, Arul Selvaraj.

Untuk rekod, ia adalah penampilan keempat Shahmie di Piala Dunia, dan nampaknya dia semakin meningkat serta yakin dalam setiap perlawanan.

Pada aksi itu, Malaysia mendahului hasil pukulan pukulan sudut penalti Shello Silverius pada minit ke-8 tetapi pemain Jepun, Kaito Tanaka menyamakan kedudukan pada minit ke-24.

Seren Tanaka kemudian memberikan Matahari Terbit pendahuluan minit ke-32, tetapi pada minit yang sama, Shello menjaringkan gol padang untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Shahmie menjadi perhatian, apabila dia menjaringkan gol padang minit ke-34 dan Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan itu hingga tamat perlawanan.

Sebelum ini, Shahmie juga bermain dengan baik dalam Piala Sultan Johor, dan apabila pasukan senior dilanda pelbagai kecederaan, jurulatih skuad remaja, Amin Rahim mengesyorkan pemain bertubuh kurus itu menjadi pemain ke-20 untuk beraksi di Piala Dunia.

Bagi kejohanan ini, 18 pemain ditambah dua tonggak lagi dibenarkan untuk didaftarkan, dan apabila Shahril Saabah mengalami hamstring pada awal kejohanan, Shahmie dibawa masuk menggantikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 5:33 PM