AKSI skuad negara di Piala Dunia. FOTO FIH
AKSI skuad negara di Piala Dunia. FOTO FIH
Oleh Jugjet Singh


Rourkela,India: Pemain hoki negara, Shahmie Irfan Suhaimi memperoleh pengalaman berguna di Piala Dunia 2023 dengan menunjukkan prestasi serta sikap positif untuk terus menyinar di masa akan datang.

Shahmie anak kepada Olimpian negara, Suhaimi Ibrahim, meraih empat kap pertamanya dalam skuad senior di kejohanan ini dan selain itu, pemain berusia 20 tahun berkenaan turut meledak dua gol.

Malah, Shamie dilihat mempunyai kematangan untuk berdepan suasana stadium yang dipenuhi penonton dan berkeupayaan bersikap tenang meskipun beraksi dalam keadaan perlawanan yang tegang.

Ini boleh dilihat ketika Malaysian Tigers bertemu Sepanyol dengan meledak jaringan ketika penentuan penalti dan seterusnya membantu Malaysia meraih kemenangan ke atas Jepun 3-2 dalam aksi terakhir pasukan.

"Detik menakjubkan apabila dia menawarkan diri (untuk penentuan penalti) kerana kami berlatih penentuan penalti sehari sebelum perlawanan dengan Sepanyol. Itu adalah semangat Malaysian Tigers.

"Dia menjaringkan gol dengan jumlah kehadiran penonton yang ramai melihat pergerakannya di Stadium Kalinga. Ini satu ketenangan dimilikinya," kata ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj.

Shahmie selepas ini dijadual menyertai rakan sepasukan Bawah 21 tahun bagi persediaan Piala Dunia Remaja pada penghujung tahun ini dan pengurus pasukan, I Vikneswaran nyata gembira dengan perkembangan pemainnya itu di peringkat senior.

"Dalam tempoh singkat, Shahmie meningkat daripada sudut keyakinan dan itu menunjukkan potensi dalam dirinya. Ia nyata bukan hanya nasib apabila dia dipilih berada dalam skuad senior, dia harus diberikan penghormatan kerana memberikan yang terbaik di India," kata Vikneswaran.

Pasukan remaja kebangsaan dijadual bermain sebagai satu pasukan di Liga Hoki Malaysia (MHL) dari 9 Februari hingga 9 Mac ini selain bakal beraksi di Sukan SEA Kemboja dan ia adalah persediaan buat mereka menjelang ke Piala Dunia Remaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 2:22 PM